Tuesday, November 16, 2010

PDRM/ATM @ KORBAN

16 Nov 2010 Bersiap-siap nak balik kampong untuk menyambut hari raya aidil adha bersama Mak dan saudara mara kat Kampong. Insyaallah seperti dirancang dengan adik beradik hari raya kedua nanti kami akan melaksanakan ibadah korban. Doa dan harapan kami agar ibadah kami nanti akan mendapat keredhaan dan diterima oleh Allah swt.

Terima kasih kepada Tuan Ahlan yang sudi mengganti tugas saya dan Tuan Ali yang menyokong permohonan cuti saya. Terima kasih tak terhingga kepada Tuan Ali kerana bagitau saya dapat anjakan gaji PTK , nak balik kampong pun bersemangat la sikit. Syukur diatas kurniaan Allah sempena Aidil Adha tahun ni.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Aidil Adha kepada semua staf Kem Komandan , sahabat-sahabat dan semua muslimin dan muslimat. Insyaallah mudah-mudahan Aidil Adha tahun ini kita semua akan memperolehi rahmat dari Allah swt.

Berita menarik yang menggembirakan saya hari ini ialah jalinan kerjasama yang erat antara PDRM dan ATM dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara kita yang tercinta.

Polis serah kepada tentera kawal sempadan
Nov 16, 10 9:46am

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan rasminya menyerahkan tugas mengawal sempadan Malaysia dengan Thailand kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis menandatangani serah menyerah tugas dibuat oleh Panglima Markas Dua Briged Brigadier Jeneral Datuk Zulkifli Mansor dan Panglima Markas Lapan Briged Brigadier Jeneral Abdul Rahim Mutalib bagi pihak ATM manakala Pasukan Gerakan Am (PGA) diwakili Komander Briged Tenggaranya, SAC Abdul Rahim Jaafar.

military tentera askar soldier malaysia 260307 wataniahMajlis penyerahan rasmi, semalam itu yang membabitkan kawasan sempadan Kelantan, Kedah/Perlis dan pantai barat Semenanjung Malaysia disaksikan oleh Panglima Dua Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Nor Daud dan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) bahagian Pasukan Gerakan Am, Pengurusan Sempadan dan Keselamatan Lapangan Terbang, Datuk Salleh Mat Rasid.

Salleh berkata melalui perjanjian itu, ATM akan mengambil alih pengawalan sempadan dari PGA selama enam bulan bagi melihat keberkesanan sebelum kajian dibuat sama ada akan meneruskan tugas itu kepada ATM atau kembali kepada PDRM.

Sepanjang tempoh itu anggota PGA akan ditempatkan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor bagi membantu Ketua Polis Negara menangani jenayah, katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

"Polis memerlukan 10,000 anggota dan pegawai tambahan bagi menjaga keselamatan dalam negara dan tugas itu akan dibuat oleh PGA," katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata tugas itu akan dilakukan sebaik mungkin sejajar dengan keputusan yang dibuat bersama antara PDRM dan ATM sebelum ini.

Beliau berharap tugas diamanahkan kepada ATM dapat dilakukan dengan berkesan sejajar dengan saranan kerajaan untuk memastikan negara sentiasa selamat daripada ancaman.

"Kita tidak buat apa-apa sasaran dalam menentukan keselamatan dan kejayaan tetapi akan melakukan sebaik mungkin bagi memastikan negara sentiasa selamat dan aman," katanya