Saturday, August 28, 2010

Mencari Keredhaan

28 Ogos 2010 Hari ni ramadhan dah melangkah kehari yang ke18 selepas kita menyambut Nuzul quran semalam. Terasa begitu pantas hari-hari istemewa ramadhan berlalu meninggalkan kita. Saudara saya Mat Saman melahirkan keluhannya mengenai jemaah yang semakin berkurangan bertarawih diMasjid dan surau .

Dibangkitkan juga perkara-perkara yang tidak sewajarnya berlaku dibulan ramadhan yang mulia ini . Saya petik kata-kata Mat Saman " Di sebalik sana pintu pula, ramai yang kena tangkap sebab tidak berpuasa. Tetapi lebih dasyat dari itu, ditangkap berzina dan berkhalwat di siang hari atau pun menyembelih isteri, anak sendiri dan melempar bayi sendiri dalam tong sampah. Kita tidak usah heran dengan kes ringan di bazar bazar Ramadhan dan hotel hotel dimana agenda agenda berbelanja dan majlis meraikan sempena berbagai acara untuk berbuka tanpa mengambil kira sumber dan status makanan yang hendak di makan."

Kata Mat Saman lagi " Fenomena ini dah jadi lumrah dalam masyarakat moden yang kita dakwa bertamaddun dan berilmu" .

Seperti yang dinyatakan oleh saudara Mat Saman "Awal Ramadhan rahmat. Pertengahan keampunan. Penghujungnya perlepasan". Agak saya la umat Islam dizaman moden ni hanya berkejaran untuk mendapat rahmat saja. Lupa pula mereka kepada dua perkara paling istemewa yang hanya ada dalam bulan ramadhan makanya, mereka tak kisah untuk bermunajat serta berdoa bagi mendapat keampunan daripada Allah swt .

Sementara ramadhan masih dipertengahan , peringatan saudara Mat Saman menyemarakkan semangat saya untuk berusaha mencari keampunan dan keredhaan Allah walau pun sekadar bersaorangan ditengah malam.

Bapa saya pernah berpesan " Dalam mengerjakan amal ibadat , buatlah amal ibadat tu semata-mata kerana Allah Taala".

Saya hanya nak kata " Amal ibadat kita bukan untuk dipamirkan kerana hanya Allah swt saja yang akan menilainya". Wallah hu Aklam.

Saturday, August 21, 2010

Emas N Perak

21 Ogos 2010 Saya begitu tertarik dengan sambutan hangat warga Kelantan terhadap jualan dinar emas dan dirham perak sebagai mata wang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

Yang menarik minat saya ialah kebanyakkan pembeli menganggap pengeluaran dinar dan dirham adalah sebagai trend terbaru emas dan perak. Membeli bukan bertujuan untuk penggunaan harian sebagai matawang tetapi untuk diubah suai menjadi barangan kemas hiasan diri dan koleksi peribadi.

Terdapat lima saiz dinar emas yang dibuat menggunakan emas 916 yang dijual dengan harga berbeza setiap hari mengikut nilai emas semasa. Khabarnya harga hari pertama jualannya bagi setengah dinar ialah RM296, satu dinar (RM592), dua dinar (RM1,184), lima dinar (RM2,960) dan lapan dinar (RM4,736). Bagi dirham pula ialah satu dirham bernilai RM13, dua dirham (RM26), lima dirham (RM65), 10 dirham (RM130) dan 20 dirham (RM260).

Saya pun berminat untuk dapatkan dinar emas untuk bahan koleksi. Bila kak Ros kepejabat saya sambil mengusung fail untuk dilambakan atas meja , saya bersuara " Kak Ros ni Kelantan dah guna dinar emas , macam mana?" . Kak Ros dengan senyum meleret berkata " Biasa la Kelate , negeri serambi Mekah kan". Hebat nih saya terus menyambung bicara" Kak Ros raya nanti balik Kelantan jangan lupa beli Dinar emas , saya pun nak jugak ". Macam biasa la Kak Ros dengan suara lembut merdunya " Ros tak beli la" .

Bila dah masuk topik emas perak ni saya sedih, bila terbayang gelagat manusia-manusia yang berilmu dan di muliakan melayan manusia lain dengan nilai emas dan perak. Yang dinilai emas diagung-agung dan dibelai , yang dinilai perak pula sebelah mata pun tak nak dipandang. Kalau dipandang pun yang perak tu cuma dianggap sebagai melukut ditepi gantang. Tak sangka ya rupanya masih ada kelas dan kasta dalam kehidupan manusia ni.

Bertambah la sedihnya saya bila ke Masjid untuk majlis berbuka puasa, tak sangka pulak di rumah Allah tempat beribadat pun makmumnya dinilai dengan nilai emas dan perak juga. Apa ketidaknya , jenis dan hidangan makanan dibuat ikut status , hatta sampai nak beri buah tangan pun diikut pangkat dan darjat jugak macam jemputan kenduri kahwin. Alahai .. sunnah mana la pulak yang dijadikan panduan oleh ahli-ahli ugama nih.

Yang diberi buah tangan berseri2 muka , yang tak diberi sayu dihati . Yang tak dapat pulak kerana nak juga buah tangan tu , ada yang sanggup menebal muka mencari-cari baki yang ada. Alahai orang-orang yang beriman , kalau lah nak bagi buah tangan biar la semua merasa supaya tak ada yang terasa hati dan kecewa. Jangan la kita kelas-kelaskan manusia yang datang dirumah Allah ni mengikut nilai emas dan perak. Ketahuilah bahawasanya nilai manusia disisi Allah swt bukan terletak kepada pangkat dan darjatnya.

Bapa saya pernah berpesan " Jangan kau ingat diri engkau lebih mulia dari orang lain semata-mata kerana engkau berpangkat dan berdarjat. Disisi Allah swt iman dan taqwa sesorang itu yang menentukan kemuliaannya. Jesteru itu anggaplah manusia lain itu lebih tinggi kedudukannya disisi Allah swt supaya engkau tidak menjadi riak dan bongkak"

Saya hanya nak kata " Manusia sama saja , dijadikan Allah asal usulnya dari tanah. Dihari akhirnya hayat , jasad itu akan dikembalikan ketanah menjadi makanan ulat dan cacing. Percaya dan yakinlah bahawasanya manusia akan dibangkitkan semula oleh Allah swt dihari kiamat nanti dan dikumpulkan di Padang Mahsyar untuk mengadap Allah swt bagi dihitung amalannya ketika hidup didunia ini " . Wallah hu aqlam.

Saturday, August 14, 2010

Ilmu @ Perjalanan

14 Ogos 2010 Tiba-Tiba saya teringat perjalanan saya ke Sik , Kedah pada 4 Ogos 2010 . Saya bersama Abang Alwi , Cik Jamilah Pembantu Tadbir Unit Pencen dan Abang Salmee berlepas ke Sik untuk melengkapkan urusan pencen terbitan Allahyarham Mohd Firdaus anggota kami yang terlibat dalam kemalangan semasa menjalankan tugas hampir empat tahun yang lalu.

Saya begitu teruja untuk menziarahi buat kali kedua rumah ibu bapa Allahyarham. Kali pertama saya mengunjunginya semasa mengiringi jenazah untuk disemadikan di kampong halamannya. Saya teringat bagaimana saya tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika menyampaikan ucapan takziah kepada ayah Allahyarham.

Untuk menghilangkan rasa bosan dalam perjalanan saya cuba membawa sahabat-sahabat saya berfikir mengenai kepentingan ilmu . Saya memulakan bicara dengan bertanya kepada Abang Alwi " Hang tau dak pasai apa orang Islam zaman nabi dulu bila Nabi Muhammad s.a.w cerita kisah baginda Israk dan mikraj ramai tak percaya dan jadi murtad?" Alwi tanpa nak berfikir terus tanya balik kepada saya " kenapa tuan?" . Saya selamba menjawab " sebab mereka tu tak ada ilmu la".

Saya terus menyambung " dulu-dulu saya cuba memahami kisah Israk dan Mikraj yang diperbandingkan oleh sorang ustaz dengan kisah seekor semut yang secara kebetulan berada didalam sebuah beg dibawa oleh pemilik beg mengembara didarat dilaut dan diudara sebelum kembali semula ketempat asalnya. Kata ustaz itu agak-agak la, kalau semut tu cerita kat kawan-kawan yang dia dah menjelajah tempat yang jauhnya beratus2 batu dalam masa satu hari dan dia boleh cerita pulak tempat2 yang dia pergi , kawan2 dia percaya tak? Tentu mereka tak percaya kerana manalah daya upaya seekor semut yang tak bersayap boleh bergerak begitu pantas didarat, laut dan udara. Realitinya kita tetap tahu bahawa semut tersebut memang telah sampai ketempat yang diceritakan kepada kawannya. Semut tersebut telah mengembara bersama pemilik beg".

Saya cuba menjelaskan lagi " Sebenarnya orang tak percaya dan mengatakan sesuatu itu mustahil adalah kerana mereka tak ada ilmu. Ilmu Allah itu luas , kalau difikirkan betul-betul apa yang orang dulu-dulu anggap mustahil sekarang ni dah jadi macam perkara biasa selepas mereka memperolehi ilmu tersebut. Contoh yang paling mudah macam telepon yang hang dok guna hari2 tu, kalau dulu sapa percaya boleh bercakap tanpa wayar tapi hari ni bukan setakat bercakap, hantar tulisan dan gambar tanpa wayar pun bukan lagi perkara mustahil. Kalau tak ada ilmu boleh ka buat? Jangankan nak buat telepon nak perbaiki telepon yang rosak pun tak boleh".

Alwi hanya mengiyakan kata-kata tersebut membuatkan saya terus bersemangat nak luahkan apa yang bergolak dalam fikiran saya " Kalau hang ada ilmu bukan setakat dengan manusia hang boleh berbual, dengan jin pun hang boleh berinteraksi. Jangan kata perkara tu mustahil semata-mata kerana tak ada ilmu. Kalau hang nak tau hang kena la belajar , insyaallah bila ada ilmu tu baru hang percaya dan yakin".

"Kesimpulannya apa tuan?" tanya Alwi tiba-tiba. Saya hanya kata " Kesimpulannya jangan kita kata sesuatu perkara itu mustahil kerana hanya orang berilmu saja yang tahu perkara itu bukan mustahil. Ilmu Allah ni luas seperti luasnya laut yang terbentang".

Malam ini apabila menjenguk blog Datuk A. Kadir Jasin saya amat tertarik dengan postingnya bertarikh 7 Ogos 2010 dibawah tajuk Keajaiban Ilmu, keistemewaan pengetahuan. Saya copy dan paste rencana tersebut.

Saturday, August 07, 2010

Keajaiban Ilmu, Keistimewaan Pengetahuan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PEPATAH berkata, jauh perjalanan luas pengalaman. Lima enam dekad lalu, paling jauh orang Melayu berjalan adalah ke Makkah al-Mukarramah.

Arwah tok (atuk perempuan) dan tok wan (atuk lelaki) saya pergi ke Makkah dengan kapal laut 60 tahun lalu. Pergi balik empat bulan. Makan “roti kapai” dan kalau mati, “dikebumikan” di laut. Masa itu, menurut cerita ibu, saya masih dalam buaian.

Maka ibu mengarang sebuah gurindam untuk mendodoikan saya berbunyi: Lang melayang tak balik-balik, lang menuju ke Pulau Pinang, tok ke Makkah tak balik-balik, air mata kita berlinang-linang.

Ibu dan arwah ayah saya ke Makkah dua kali. Kali pertama dengan kapal laut dan kedua dengan kapal terbang.

Hari ini, ke Makkah perkara biasa bagi orang Islam Malaysia. Malah ramai pergi berulang kali dan ditokok-tambah pula dengan Umrah. Tapi ada juga yang berulang kali buat umrah tapi tak pergi haji.

Menjelang bulan puasa ini, berduyun-duyunlah pergi ke Makkah untuk berpuasa, buat umrah dan beribadat di Masjil al-Haram.

Perjalanan, pengembaraan dan pembacaan adalah jalan ilmu yang sangat berkesan. Bacalah sejarah pengembaraan Ibn Batutta yang nama penuhnya Abu Abdullah Muhammad Ibn Abdullah Al Lawati Al Tanji Ibn Battuta pada abad ke-14 Masihi.

Catatan pengembaraan beliau menjadi ilham dan ikutan pengembara-pengembara Eropah selepas itu.

Sedikit sebanyak, semua kita adalah pengembara, sama ada kita mengembara secara fizikal atau dengan membaca karya-karya yang berguna.

Mengembara Mencari Ilmu

Saya mula mengembara secara serius selepas peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1968. Saya dan kawan baik saya, Allahyarham Abdul Razak Lazim, dari Langgar, hitch-hike dari Alor Star hingga ke Batu Pahat, Johor.

Kami tumpang kereta persendirian, lori barang, van surat khabar, lori JKR dan Land Rover Polis. Pendek kata, siapa saja yang bermurah hati berhenti mengambil kami, kami ikut. Kami tidur di ruang luar masjid atau tumpang rumah saudara mara.

Perjalanan balik kami naik kereta api sebab ketika di Batu Pahat kami diserang sekumpulan samseng kampung sehingga saya “mendarat” di hospital dan mendapat jahitan di kepala.

Pada tahun 1971, ketika menjalani kursus amali dengan sebuah akhbar komuniti, The Nelson Evening Mail (NEM) di pekan Nelson, New Zealand, saya menulis sebuah berita mengenai ulang tahun kelahiran pemenang anugerah Nobel, Lord Ernest Rutherford (1871–1937). Ahli fizik yang mempelopori bidang nuklear itu dilahirkan berhampiran Nelson.

Seingat saya, berita Nelson Evening Mail itu turut disiarkan oleh banyak akhbar di New Zealand kerana NEM turut menyalurkan berita itu melalui New Zealand Press Association (NZPA).

Beberapa hari lalu saya membeli sebuah buku bertajuk “The Disappearing Spoon and other true tales of madness, love, and the history of the world from the periodic table of the elements” (adoi panjangnya) oleh Sam Kean (Little, Brown and Company) di kedai buku Orell Fuessli, Zurich.

Oleh sebab buku itu adalah mengenai Carta Periodik, maka saya tidak terkejut menemui Rutherford di dalamnya.

Orang Berilmu Tahu Erti Jahil

Apa yang hendak saya ketengahkan di sini ialah kalau saya tidak mengembara ke New Zealand, tidak membaca dan menulis mengenai Rutherford, saya mungkin tidak berasa apa-apa apabila membaca mengenainya dalam buku itu.

Inilah keunikan dan ketakjuban ilmu dan pengetahuan. Kalau kita tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan, kita tidak tahu atau tidak sedar bahawa kita jahil. Sebaliknya, jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan, kita akan sedar betapa jahilnya kita kerana bagi setiap satu perkara yang kita ketahui, banyak lagi yang kita tidak ketahui.

Siang tadi, juruwang di sebuah toko pakaian di Zurich bertanya dari mana asal saya. Saya kata, Malaysia. Dia kata dia berasal dari Albania.

Apabila saya memberitahunya yang saya pernah ke Tirane (atau Tirana), ibu negara Albania, dalam perjalanan ke Kosovo, wajahnya berubah. Dengan nada gembira dia berkata:

“Saya sebenarnya orang Kosovo. Tadi saya menyebut Albania kerana tidak ramai orang tahu mengenai Kosovo. Tetapi tuan pernah ke Kosovo. Saya sangat gembira.”

Rakannya, seorang tukang jahit yang berasal dari Portugal mencelah: “Ah, Malaysia sangat cantik.”

“Anda pernah ke Malaysia?” tanya saya.

“Tidak pernah. Tetapi dari apa yang saya lihat di TV, Malaysia sangat cantik.”

Hmm.. rasa-rasa nak masuk bakul dan angkat sendiri. Tapi tunggu dulu. Rasa-rasanya, Malaysia yang sebenar tidaklah seindah Malaysia di kaca TV. Memang benar, infrastruktur kita kelas Dunia Pertama, tapi pengendalian dan penyelenggaraannya lebih teruk daripada Dunia Ketiga.

Berbalik kepada cerita Kosovo, saya ke negara itu dengan Syed Hamid Albar selepas tamat perang antara orang Islam dan Serbia di wilayah bekas Yugoslavia itu pada pertengahan tahun 1999.

Masa itu Syed Hamid Menteri Luar dan tujuan kami adalah menyampaikan derma pembaca akhbar Kumpulan New Straits Times kepada tiga penerima yang menderita akibat peperangan iaitu sebuah hospital, universiti dan masjid.

Dunia Di Ambang Penjajahan Baru

Kesimpulan cerita saya ialah tidak kira jauh atau dekat, kita wajar mengembara. Ilmu dan pengetahuan ada di mana-mana. Tetapi kita boleh berjalan seribu batu tetapi tidak berasa apa-apa atau kita menjadi lebih keliru.

Syarat untuk mendapat ilmu dan pengetahuan dan tidak menjadi keliru adalah dengan memerhati dan meneliti. Melihat sahaja tidak cukup kerana kita hanya menggunakan satu naluri iaitu mata. Tetapi kalau kita memerhati, kita melihat dengan mata dan hati (fikiran) – kita meneliti dan mendalami.

Sebab itulah, datuk-nenek kita suruh kita “tengok dan perhati.”

Malangnya, hari ini satu dunia melihat tetapi amat sedikit memerhati. Kerana puas hati bertukar SMS, chatting, menonton Akademi Fantasia, American Idols, drama murahan dan gilakan EPL, ramai tidak lagi mengembara dan membaca untuk mencari ilmu dan pengetahuan.

[Tapi saya pun baru-baru ini “chatting” dengan seorang pemuda Australia yang meminta nasihat saya mengenai hasratnya memeluk Islam. Isyak-Allah.]

Akibatnya, dunia hari ini ditakluki dan dijajah oleh penjajahan bentuk baru yang didalangi oleh elit politik dan ekonomi yang menganggap kemanusiaan tidak lebih daripada medan memonopoli kuasa politik dan mengaut keuntungan.

Bukan salah mereka, tetapi salah kemanusiaan yang semakin membelakangi ilmu dan pengetahuan. Hatta yang “ iqra ” al-Quran pun ramai utamakan dengung daripada ajaran, ilmu dan pengetahuan di dalamnya.

Monday, August 9, 2010

Negarawan@Jasa

6 Ogos 2010 Promo di TV 1 bagi rancangan wawancara bersama Negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad membuatkan saya bertekad untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan rancangan tersebut.

Pengisian program pertama kali anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bersama pengerusinya Dato Fuad Hassan yang dipaparkan dalam slot rancangan itu agak menarik. Saya percaya para mahasiswa IPT dan IPTS yang terpilih menyertai program tersebut telah mendapat pendedahan yang berguna . Apa tah lagi mereka berkesempatan mendengar dan berkongsi minda dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. Peluang untuk mereka mendengar sendiri buah fikiran dan wawasan beliau menongkah arus untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara yang berdaulat dan dihormati didunia.

Pengalaman 22 tahun Tun Dr Mahathir memimpin dan merialisasi tekad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju tentunya amat berguna. Ilmu yang Berjaya digarap oleh siswa siswi dalam program tersebut , insyaallah akan memberi manafaat yang amat bernilai untuk dikongsi bersama rakyat Malaysia apabila tiba masanya mengambil alih tugas kepimpinan Negara.

Syabas kepada JASA yang berjaya menggembeling idea untuk program tersebut.

Saya hanya nak melahir secalit ingatan untuk Tun Dr Mahathir yang sentiasa bermain didalam fikiran saya.

Tun Dr Mahathir Mohammad Iskandar

Saat aku mengenali dirimu
Detik hati ku berbisik
Kaulah idola ku

Saat aku mendengar suaramu
Detik hati ku berbisik
Ilmu apa yang nak kau beri

Saat aku mencapai tanganmu
Detik hati ku berbisik
Kaulah pemimpinku

Saat aku mengingati diri mu
Detik hati ku berbisik
Jasamu seluas lautan terbentang


Cheazmibidin @ 0230 Hrs 7 Ogos 2010