Saturday, August 14, 2010

Ilmu @ Perjalanan

14 Ogos 2010 Tiba-Tiba saya teringat perjalanan saya ke Sik , Kedah pada 4 Ogos 2010 . Saya bersama Abang Alwi , Cik Jamilah Pembantu Tadbir Unit Pencen dan Abang Salmee berlepas ke Sik untuk melengkapkan urusan pencen terbitan Allahyarham Mohd Firdaus anggota kami yang terlibat dalam kemalangan semasa menjalankan tugas hampir empat tahun yang lalu.

Saya begitu teruja untuk menziarahi buat kali kedua rumah ibu bapa Allahyarham. Kali pertama saya mengunjunginya semasa mengiringi jenazah untuk disemadikan di kampong halamannya. Saya teringat bagaimana saya tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika menyampaikan ucapan takziah kepada ayah Allahyarham.

Untuk menghilangkan rasa bosan dalam perjalanan saya cuba membawa sahabat-sahabat saya berfikir mengenai kepentingan ilmu . Saya memulakan bicara dengan bertanya kepada Abang Alwi " Hang tau dak pasai apa orang Islam zaman nabi dulu bila Nabi Muhammad s.a.w cerita kisah baginda Israk dan mikraj ramai tak percaya dan jadi murtad?" Alwi tanpa nak berfikir terus tanya balik kepada saya " kenapa tuan?" . Saya selamba menjawab " sebab mereka tu tak ada ilmu la".

Saya terus menyambung " dulu-dulu saya cuba memahami kisah Israk dan Mikraj yang diperbandingkan oleh sorang ustaz dengan kisah seekor semut yang secara kebetulan berada didalam sebuah beg dibawa oleh pemilik beg mengembara didarat dilaut dan diudara sebelum kembali semula ketempat asalnya. Kata ustaz itu agak-agak la, kalau semut tu cerita kat kawan-kawan yang dia dah menjelajah tempat yang jauhnya beratus2 batu dalam masa satu hari dan dia boleh cerita pulak tempat2 yang dia pergi , kawan2 dia percaya tak? Tentu mereka tak percaya kerana manalah daya upaya seekor semut yang tak bersayap boleh bergerak begitu pantas didarat, laut dan udara. Realitinya kita tetap tahu bahawa semut tersebut memang telah sampai ketempat yang diceritakan kepada kawannya. Semut tersebut telah mengembara bersama pemilik beg".

Saya cuba menjelaskan lagi " Sebenarnya orang tak percaya dan mengatakan sesuatu itu mustahil adalah kerana mereka tak ada ilmu. Ilmu Allah itu luas , kalau difikirkan betul-betul apa yang orang dulu-dulu anggap mustahil sekarang ni dah jadi macam perkara biasa selepas mereka memperolehi ilmu tersebut. Contoh yang paling mudah macam telepon yang hang dok guna hari2 tu, kalau dulu sapa percaya boleh bercakap tanpa wayar tapi hari ni bukan setakat bercakap, hantar tulisan dan gambar tanpa wayar pun bukan lagi perkara mustahil. Kalau tak ada ilmu boleh ka buat? Jangankan nak buat telepon nak perbaiki telepon yang rosak pun tak boleh".

Alwi hanya mengiyakan kata-kata tersebut membuatkan saya terus bersemangat nak luahkan apa yang bergolak dalam fikiran saya " Kalau hang ada ilmu bukan setakat dengan manusia hang boleh berbual, dengan jin pun hang boleh berinteraksi. Jangan kata perkara tu mustahil semata-mata kerana tak ada ilmu. Kalau hang nak tau hang kena la belajar , insyaallah bila ada ilmu tu baru hang percaya dan yakin".

"Kesimpulannya apa tuan?" tanya Alwi tiba-tiba. Saya hanya kata " Kesimpulannya jangan kita kata sesuatu perkara itu mustahil kerana hanya orang berilmu saja yang tahu perkara itu bukan mustahil. Ilmu Allah ni luas seperti luasnya laut yang terbentang".

Malam ini apabila menjenguk blog Datuk A. Kadir Jasin saya amat tertarik dengan postingnya bertarikh 7 Ogos 2010 dibawah tajuk Keajaiban Ilmu, keistemewaan pengetahuan. Saya copy dan paste rencana tersebut.

Saturday, August 07, 2010

Keajaiban Ilmu, Keistimewaan Pengetahuan

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PEPATAH berkata, jauh perjalanan luas pengalaman. Lima enam dekad lalu, paling jauh orang Melayu berjalan adalah ke Makkah al-Mukarramah.

Arwah tok (atuk perempuan) dan tok wan (atuk lelaki) saya pergi ke Makkah dengan kapal laut 60 tahun lalu. Pergi balik empat bulan. Makan “roti kapai” dan kalau mati, “dikebumikan” di laut. Masa itu, menurut cerita ibu, saya masih dalam buaian.

Maka ibu mengarang sebuah gurindam untuk mendodoikan saya berbunyi: Lang melayang tak balik-balik, lang menuju ke Pulau Pinang, tok ke Makkah tak balik-balik, air mata kita berlinang-linang.

Ibu dan arwah ayah saya ke Makkah dua kali. Kali pertama dengan kapal laut dan kedua dengan kapal terbang.

Hari ini, ke Makkah perkara biasa bagi orang Islam Malaysia. Malah ramai pergi berulang kali dan ditokok-tambah pula dengan Umrah. Tapi ada juga yang berulang kali buat umrah tapi tak pergi haji.

Menjelang bulan puasa ini, berduyun-duyunlah pergi ke Makkah untuk berpuasa, buat umrah dan beribadat di Masjil al-Haram.

Perjalanan, pengembaraan dan pembacaan adalah jalan ilmu yang sangat berkesan. Bacalah sejarah pengembaraan Ibn Batutta yang nama penuhnya Abu Abdullah Muhammad Ibn Abdullah Al Lawati Al Tanji Ibn Battuta pada abad ke-14 Masihi.

Catatan pengembaraan beliau menjadi ilham dan ikutan pengembara-pengembara Eropah selepas itu.

Sedikit sebanyak, semua kita adalah pengembara, sama ada kita mengembara secara fizikal atau dengan membaca karya-karya yang berguna.

Mengembara Mencari Ilmu

Saya mula mengembara secara serius selepas peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada tahun 1968. Saya dan kawan baik saya, Allahyarham Abdul Razak Lazim, dari Langgar, hitch-hike dari Alor Star hingga ke Batu Pahat, Johor.

Kami tumpang kereta persendirian, lori barang, van surat khabar, lori JKR dan Land Rover Polis. Pendek kata, siapa saja yang bermurah hati berhenti mengambil kami, kami ikut. Kami tidur di ruang luar masjid atau tumpang rumah saudara mara.

Perjalanan balik kami naik kereta api sebab ketika di Batu Pahat kami diserang sekumpulan samseng kampung sehingga saya “mendarat” di hospital dan mendapat jahitan di kepala.

Pada tahun 1971, ketika menjalani kursus amali dengan sebuah akhbar komuniti, The Nelson Evening Mail (NEM) di pekan Nelson, New Zealand, saya menulis sebuah berita mengenai ulang tahun kelahiran pemenang anugerah Nobel, Lord Ernest Rutherford (1871–1937). Ahli fizik yang mempelopori bidang nuklear itu dilahirkan berhampiran Nelson.

Seingat saya, berita Nelson Evening Mail itu turut disiarkan oleh banyak akhbar di New Zealand kerana NEM turut menyalurkan berita itu melalui New Zealand Press Association (NZPA).

Beberapa hari lalu saya membeli sebuah buku bertajuk “The Disappearing Spoon and other true tales of madness, love, and the history of the world from the periodic table of the elements” (adoi panjangnya) oleh Sam Kean (Little, Brown and Company) di kedai buku Orell Fuessli, Zurich.

Oleh sebab buku itu adalah mengenai Carta Periodik, maka saya tidak terkejut menemui Rutherford di dalamnya.

Orang Berilmu Tahu Erti Jahil

Apa yang hendak saya ketengahkan di sini ialah kalau saya tidak mengembara ke New Zealand, tidak membaca dan menulis mengenai Rutherford, saya mungkin tidak berasa apa-apa apabila membaca mengenainya dalam buku itu.

Inilah keunikan dan ketakjuban ilmu dan pengetahuan. Kalau kita tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan, kita tidak tahu atau tidak sedar bahawa kita jahil. Sebaliknya, jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan, kita akan sedar betapa jahilnya kita kerana bagi setiap satu perkara yang kita ketahui, banyak lagi yang kita tidak ketahui.

Siang tadi, juruwang di sebuah toko pakaian di Zurich bertanya dari mana asal saya. Saya kata, Malaysia. Dia kata dia berasal dari Albania.

Apabila saya memberitahunya yang saya pernah ke Tirane (atau Tirana), ibu negara Albania, dalam perjalanan ke Kosovo, wajahnya berubah. Dengan nada gembira dia berkata:

“Saya sebenarnya orang Kosovo. Tadi saya menyebut Albania kerana tidak ramai orang tahu mengenai Kosovo. Tetapi tuan pernah ke Kosovo. Saya sangat gembira.”

Rakannya, seorang tukang jahit yang berasal dari Portugal mencelah: “Ah, Malaysia sangat cantik.”

“Anda pernah ke Malaysia?” tanya saya.

“Tidak pernah. Tetapi dari apa yang saya lihat di TV, Malaysia sangat cantik.”

Hmm.. rasa-rasa nak masuk bakul dan angkat sendiri. Tapi tunggu dulu. Rasa-rasanya, Malaysia yang sebenar tidaklah seindah Malaysia di kaca TV. Memang benar, infrastruktur kita kelas Dunia Pertama, tapi pengendalian dan penyelenggaraannya lebih teruk daripada Dunia Ketiga.

Berbalik kepada cerita Kosovo, saya ke negara itu dengan Syed Hamid Albar selepas tamat perang antara orang Islam dan Serbia di wilayah bekas Yugoslavia itu pada pertengahan tahun 1999.

Masa itu Syed Hamid Menteri Luar dan tujuan kami adalah menyampaikan derma pembaca akhbar Kumpulan New Straits Times kepada tiga penerima yang menderita akibat peperangan iaitu sebuah hospital, universiti dan masjid.

Dunia Di Ambang Penjajahan Baru

Kesimpulan cerita saya ialah tidak kira jauh atau dekat, kita wajar mengembara. Ilmu dan pengetahuan ada di mana-mana. Tetapi kita boleh berjalan seribu batu tetapi tidak berasa apa-apa atau kita menjadi lebih keliru.

Syarat untuk mendapat ilmu dan pengetahuan dan tidak menjadi keliru adalah dengan memerhati dan meneliti. Melihat sahaja tidak cukup kerana kita hanya menggunakan satu naluri iaitu mata. Tetapi kalau kita memerhati, kita melihat dengan mata dan hati (fikiran) – kita meneliti dan mendalami.

Sebab itulah, datuk-nenek kita suruh kita “tengok dan perhati.”

Malangnya, hari ini satu dunia melihat tetapi amat sedikit memerhati. Kerana puas hati bertukar SMS, chatting, menonton Akademi Fantasia, American Idols, drama murahan dan gilakan EPL, ramai tidak lagi mengembara dan membaca untuk mencari ilmu dan pengetahuan.

[Tapi saya pun baru-baru ini “chatting” dengan seorang pemuda Australia yang meminta nasihat saya mengenai hasratnya memeluk Islam. Isyak-Allah.]

Akibatnya, dunia hari ini ditakluki dan dijajah oleh penjajahan bentuk baru yang didalangi oleh elit politik dan ekonomi yang menganggap kemanusiaan tidak lebih daripada medan memonopoli kuasa politik dan mengaut keuntungan.

Bukan salah mereka, tetapi salah kemanusiaan yang semakin membelakangi ilmu dan pengetahuan. Hatta yang “ iqra ” al-Quran pun ramai utamakan dengung daripada ajaran, ilmu dan pengetahuan di dalamnya.

1 comment:

  1. Imam Al Ghazali dah kata " bermula amal itu dengan ilmu". Bermakna setiap amal tanpa ilmu adalah sia sia kerana ia mendedahkan kepada beberapa risiko kemusnahan..contohnya, kalau memandu kereta tanpa pelajari ilmu memandu, alamatnya..kalau masak kari tanpa ilmu memasak, alamatnya..kalau solat tanpa ilmu fekah..jawabnya..maka itu yang dikata sia sia dan berbahaya..

    ReplyDelete