Wednesday, October 27, 2010

Angioplasti

Dikemaskini : 28 Okt 2010 Sm Mail selamat menjalani rawatan jantung melalui kaedah Angioplasty. Khabarnya Sm dah kembali sehat dan diberi cuti rehat selama 3 hari.....


27 Okt 2010 Semalam apabila mendapat berita Sm Mail akan menjalani rawatan jantung . Ocs kami Tuan Hj Tahir terus atur majlis doa selamat . Majlis diadakan atas keinsafan bahawa setiap sesuatu hendaklah kembali rujuk kepada Allah swt sebagai tempat memohon pertolongan dan perlindungan.

Firman Allah swt yang bermaksud “ Berdoalah kepadaku , nescaya akan aku perkenankan bagi kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina” (Surah al-Mukmin : Ayat 60).

Kami berdoa mudah-mudahan Sm Ismail akan selamat menjalani rawatan dan kembali pulih untuk menjalankan tugas......




Kata Tn Hj Tahir " Sama-sama kita memohon dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh , insyaallah permintaan kita akan dimakbulkan oleh Allah swt."

Sunday, October 24, 2010

3inone

24 Okt 2010 Saya tertarik dengan gabungan maksud firman Allah dan sabda rasulullah yang sering diperkatakan . Saya percaya usaha-usaha baik yang sedang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan PDRM membina jambatan hubungan dengan masyarakat menepati firman Allah dan sabda rasulullah ini ...

Firman ALLAH: “Dan hamba-hamba yang baik dari Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang yang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengundang keselamatan)” (Al-Furqan:63)

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu lalu saling berjabat tangan , kecuali keduanya akan diampuni sebelum keduanya berpisah.”(HR at.Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berkonsepkan kepada membina hubungan silatulrahim dan persaudaraan dikalangan pegawai, anggota dan kaki tangan awam yang berkhidmat dalam cawangan Kem Komandan Bukit Aman, malam tadi berlangsung majlis tiga dalam satu.

Gabungan antara bahagian pentadbiran dengan jawatan kuasa sukan dan kebajikan telah berjaya mengadakan Majlis Taklimat Khas , Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan program sukan 2010 dan Majlis ramah mesra antara ahli keluarga Cawangan Kem Komandan.

Dari seri wajah yang terpancar dikalangan mereka yang hadir saya percaya program tersebut telah mencapai sasarannya. Tuan Ali pun nampaknya amat gembira dengan pengisian program kerana telah berjaya menyampaikan mesej kepada staf Kem Komandan melalui taklimat yang disampaikan bertemakan ' Dedikasi dalam perkhidmatan, disiplin dipertingkatkan'.

Tahniah kepada semua ketua-ketua unit khasnya Tuan Hj Ramli dan Sjn Anuar Udin yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut. Sumbang bakti anda khasnya tenaga dan wang ringgit yang disalurkan amat bermakna kepada program ini. Sokongan dari semua staf yang hadir bersama keluarga masing-masing juga amatlah dihargai.

Dalam kegembiraan ini kita juga tidak lupa untuk menyampai ucapan takziah kepada SI Hj Ramly dan keluarga . Anak SI Hj Ramly telah selamat bersalin tetapi anak yang dilahirkan telah meninggal dunia. Sama-sama kita sedekahkan bacaan fatihah untuk arwah.

Tak salah untuk saya publishkan foto kenangan semasa majlis berlangsung....
.








Bapa saya berpesan " Dalam hidup ini kau pilihlah yang mana kau suka tetapi Allah menetapkan kalau berjamaah pahalanya digandakan"

Saya hanya nak kata " Hidup kita didunia ini hanya sementara, pilihlah nak hidup gembira bersama manusia disekeliling kita atau nak hidup seorang macam kera sumbang "

Friday, October 22, 2010

Ibadah


22 Okt 2010 Jumaat : Saya mulakan dengan menyebut Firman Allah yang bermaksud "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Surah Adz-Dzariyaat : Ayat 56)

Mengerjakan Amal Ibadah dalam Islam tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu sahaja. Dalam melaksanakan ibadah ini penting juga untuk kita mengambil kira elemen-elemen yang ada kaitan dengan urusan-urusan masyarakat terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan.
Saya berpendapat pujian dan sokongan perlu diberikan kepada langkah parti politik yang berusaha menyediakan kemudahan terbaik untuk ahli-ahli mengerjakan solat Jumaat ditempat persidangan.
Disamping itu langkah yang diambil oleh IGP Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar membina jambatan hubungan antara polis dan masyarakat melalui ibadah solat jumaat perlu dicontohi dan dikembangkan secara berterusan.
Insyaallah amalan yang telah dibuat akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah S.W.T. jika perlaksanaanya memenuhi lima syarat berikut:

1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syara'.
2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik (kerana Allah S.W.T).
3. Amalan hendaklah dibuat dengan seelok-eloknya.
4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batas- batasnya.
5.Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib (ibadah khusus).
Saya hanya nak kata " Kalau kita tak mampu nak buat perkara yang baik , jangan kita caci dan keji perbuatan baik dan mulia yang dilakukan oleh orang lain".

Wednesday, October 20, 2010

BANK IDEA


20 Okt 2010 Tugas sebagai pegawai penyiasat memerlukan tumpuan dan komitmen yang tinggi terhadap tugas yang dilaksanakan . Ketelitian , kesabaran dan kebolehan membuat keputusan yang pantas dan tepat adalah sifat-sifat yang perlu di miliki oleh setiap pegawai penyiasat.

Saya tertarik dengan kenyataan IGP yang berbunyi "Index keseluruhan kadar jenayah menurun sebanyak 16 peratus dan kadar jenayah jalanan mencatatkan penurunan sebanyak 38 peratus untuk tempoh 9 bulan pertama tahun ini."

Kejayaan ini tentunya membanggakan PDRM yang telah memberikan komitmen yang tinggi kepada perlaksanaan NSES/NKRA .

Walaupun begitu IGP masih mengharapkan sesuatu yang lebih baik dihasilkan oleh PDRM khasnya peningkatan mutu siasatan. Sama-sama lah kita berkongsi teguran dan harapan IGP dalam mempertingkatkan kecemerlangan perkhidmatan PDRM ,,,,,

1) Mutu siasatan oleh pegawai dan anggota polis perlu dipertingkatkan walaupun bilangan kes jenayah telah berkurangan.

2)Pegawai dan anggota PDRM perlu mengubah budaya kerja dan terus bekerja keras untuk memastikan rakyat boleh hidup dengan aman dan selamat.

3)Pegawai penyiasat perlu lebih proaktif dan sepatutnya sentiasa menghubungi pelapor untuk memaklumkan status siasatan.

4)Bagi menambah baik mutu perkhidmatan PDRM, satu "bank idea" akan diwujudkan bagi membolehkan seluruh anggota dan pegawai PDRM dari semua peringkat menyalurkan idea dan cadangan . Idea yang bernas dan boleh diguna pakai akan diberi penghargaan.

5) Pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam melakukan kesalahan tidak akan dilindungi dan akan diheret ke Mahkamah jika terbukti melakukan kesalahan.

Realitinya kata IGP "Yang salah tetap salah, mereka boleh dituduh di mahkamah kerana undang-undang tidak kenal siapa sama ada polis atau orang awam, tidak kira tua, muda, lelaki, wanita. Malah, ada anggota dan pegawai polis yang telah dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman".

Bapa saya pernah berkata " Susu sebelanga boleh rosak dek kerana setitik nila".

Saya hanya nak kata " Kalau nak menilai yang buruk, jangan pula dilupa kebaikan dan jasa yang pernah ditinggalkan"

Saturday, October 16, 2010

Black Sands


16 Okt 2010 Siri 4/2010 Kursus Keselamatan Kawasan Dan Bangunan telah berlangsung dengan jayanya di Resort Mes Pegawai Kanan Pasir Hitam, Langkawi. Kursus lima hari bermula 11 Okt 2010 dan berakhir 15 Okt 2010 telah disertai seramai 30 orang anggota Cawangan Kem Komandan Bukit Aman.

Peserta kursus rata-ratanya amat berpuashati dengan pengisian program yang menjemput penceramah jemputan dari Institiut Integriti Malaysia, Cawangan Khas PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Bahagian Agama dan Kaunseling PDRM .

Yang seronoknya penceramah jemputan dari Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia adalah rakan sekolah saya semasa menuntut di Sekolah Menengah Pulau Nyior tahun 1974/75. Rakan-rakan saya yang melanjut pelajaran di Tingkatan 6 Sekolah Menengah Jitra tentunya mengenali Ismail Ibrahim yang kini bertugas sebagai Ketua Balai Bomba Langkawi. Beliau pernah bertugas sebagai juru latih Jabatan Bomba dan penyelamat.

Hati saya begitu tersentuh apabila ramai peserta kursus apabila diberi peluang untuk berucap berkata " Saya amat gembira dipilih untuk menyertai kursus ini. Semasa berkursus disini selain saya dapat menimba ilmu , saya dapat bergaul dan mengenali secara lebih dekat dengan rakan sekerja saya . Sebelum ni hanya sekadar kenal tapi tak mesra macam ni".

Salah seorang tu pulak kata " Saya seorang yang pendiam dan tak ramai kawan ditempat kerja, kursus ni mengenalkan saya kepada rakan-rakan setugas dan saya berharap lepas ni saya akan mempunyai ramai kawan ditempat kerja".

Seronok juga untuk publish gambar-gambar ceria masa kursus berjalan....



Saya hanya nak kata " Saya juga seperti anda ,cuba memahami gerak hati dan perasaan kita , lima hari bersama jadi kenangan diPulau Lagenda"

Sunday, October 10, 2010

Red Ink

9 Okt 2010 Semalam Tuan Ali awal-awal dah pesan " Sabtu dan Ahad ni kita kena 'All Out' bagi persiapan tempat sempena keberangkatan DYMM Sultan Johor ke Bukit Aman. Pukul 9.00 pagi kita semua kumpul kat pejabat".

Malam sabtu SI Samat pengerusi persatuan penduduk kelompok kenanga , Hulu Kelang jemput ke Majlis Rumah terbuka . Kerana dah janji dengan adik saya Roshadah dan suaminya Mohd Nor nak pergi merisik calun menantunya, terpaksa la call SI Samat minta maaf tak dapat hadir. Doa saya moga-moga majlis berjalan lancar.

Kak Syakila pulak hari sabtu lepas zuhur jemput kerumahnya , nak buat 'open house' walau pun syawal dah berakhir semalam. Kak Syakila siap beri kad jemputan dengan plannya sekali. Yang menggerunkan alamat rumah dalam plan ditulis tangan dengan dakwat merah. Apa maknanya tu??????

Walau pun dalam keadaan ruang waktu yang terhad ,tetapi teringatkan tulisan tangan dakwat merah tu , saya bersama SM Mail dan Sjn Anuar dengan menunggang motosikal bergegas kerumah Kak Syakila walau pun waktunya dah lewat petang.

Masa kami sampai rakan-rakan pejabat yang hadir dengan keluarga masing-masing seperti Kak Nen , Hamidah , Harida , Hidayah dan kakaknya dah bersiap nak balik. Tuan Ali hanya dapat berkirim salam kerana raptai belum selesai.

Lucunya Kak Syakila ni , jemput open house kerumahnya tetapi alamat dalam jemputan ditulis alamat rumah emaknya. Nasib baik la rumah emaknya tu dilokasi yang sama cuma berlainan blok sahaja. Nasib baik darah SM Mail tak menggelegak hari ni mungkin sebab dia tengah seronok nak pergi Kursus kenaikan pangkat esok. Kepada Syakila kami nak bagitau "Makanan kat rumah hang memang sedap, puas kami makan. Lain kali jemput la lagi".

Saya hanya nak kata " Hasrat dihati semua jemputan nak pergi , apakan daya tak cukup tangan dan kaki"

Thursday, October 7, 2010

Justice


7 Okt 2010 Semasa menjadi pelatih Inspektor tahun 1979 di Pusat Latihan Polis saya dan rakan-rakan pelatih diajar untuk memahami peraturan dan undang-undang Negara. Kami diajar untuk memahami Kanun Acara Jenayah, Kanun Keseksaan, Undang-Undang Am , Akta Keterangan , Akta Polis & Perintah Tetap KPN dan semua Akta-Akta yang berkuatkuasa.

Pendedahan kepada kanun-kanun dan akta-akta ini untuk membolehkan kami menguatkuasakannya dengan adil dan saksama.

Sebagai anggota PDRM kami sentiasa diperingatkan oleh pensyarah undang-undang dengan kata-kata " Menjadi penguatkuasa bukan bermakna kamu berada diatas undang-undang. Kamu juga diikat oleh peraturan dan undang-undang itu sendiri".

Kata pensyarah undang-undang kami lagi " Walau pun begitu dibawah Kanun Keseksaan terdapat satu bab yang memberi perlindungan kepada penguatkuasa yang menjalankan tugas secara sucihati dengan kepercayaan dia dibenar oleh undang-undang. Kalau tak ada pengecualian ini tak ada lah keadilannya".

Hari ini selepas lebih 30 tahun berkhidmat keyakinan dan kepercayaan saya kepada apa yang diajar dan dikatakan oleh pensyarah saya semakin terhakis.

Persoalan saya " Masih adakah lagi pengecualian dan perlindungan undang kepada penguatkuasa yang menjalankan tugas dan tanggung jawabnya secara sucihati".

Inilah realiti hari ini.....

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin untuk hadir di mahkamah pada 28 Oktober, pada hari keputusan prosiding menghina mahkamah yang dibuat dua lelaki berhubung penahanan semula mereka mengikut Ordinan Darurat 1967.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak bersetuju dengan peguam bela Datuk N. Sivananthan bahawa Musa dan Mohd Bakri perlu hadir di mahkamah seperti responden yang lain.

"Pada hari keputusan, mereka perlu hadir di mahkamah, tiada siapa mengatasi undang-undang dan ini adalah mahkamah undang-undang di mana tiada siapa yang diberi pengecualian," kata Sivananthan.

Mohd Sofian berkata beliau bersetuju dengan Sivananthan bahawa integriti mahkamah perlu dipelihara.

"Saya tidak mahu memberikan mesej yang salah kepada orang awam, tidak kira apa pun keputusan, mereka perlu berada di sini pukul 8.30 pagi pada 28 Oktober," katanya.

Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan Najib Zakaria memohon panduan mahkamah sama ada Musa dan Mohd Bakri boleh dikecualikan daripada hadir pada hari itu dan akan memastikan kehadiran mereka jika mahkamah menuduh mereka menghina mahkamah pada hari itu.

"Saya dimaklumkan bahawa Musa berada di luar negara mengerjakan umrah di Mekah manakala Mohd Bakri, tidak jadi masalah. Yang membimbangkan saya ialah media, sama ada dituduh atau tidak mereka tetap melaporkannya," kata Najib.

R. Muniyandi, 26, dari Kluang, Johor dan B. Sasinthiran, 28, dari Kuala Selangor, ditahan mengikut Ordinan Darurat atas dakwaan terbabit dengangangsterisme dan lain-lain kegiatan jenayah.

Muniandy berjaya mendapatkan writ habeas corpus dari Mahkamah Tinggi di sini pada 10 Jun tahun ini dan dia ditahan semula sebaik sahaja keluar dari Pusat Tahanan Simpang Renggam di Johor pada 23 Jun.

Sementara itu, Sasinthiran mendapat writnya pada 29 Julai dan dia ditahan semula hari berikutnya. Pada 30 September, kedua-dua lelaki itu berjaya dalam usaha mereka untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Musa dan Mohd Bakri kerana tidak mematuhi arahan mahkamah bagi membebaskan mreka.

Semasa prosiding hari ini, Sivananthan berhujah bahawa kedua-dua responden gagal menjawab dakwaan ke atas mereka melalui jawapan dalam afidavit.

"Dalam perkara ini, undang-undang telah jelas di mana mereka mesti menjawab dakwaan itu dan jika anda tidak jawab, anda seperti mengaku kepada dakwaan yang dibuat pemohon-pemohon (Muniyandi dan Sasinthiran)."

"Agak ganjil jika mereka memutuskan untuk berdiam diri dan ia agak mengejutkan, mereka sepatutnya menjawab walaupun kedua-dua mereka memilih untuk tidak hadir di mahkamah," kata Sivananthan.

Beliau berkata jika mahkamah sangsi dengan tindakan polis, sudah tentu keseluruhan permohonan habeas corpus itu menjadi satu bahan ejekan dan sesuatu yang memalukan.

Sementara itu, dalam hujahnya, Najib berkata permohonan itu tidak mempunyai merit dan dibuat tanpa asas. "Walaupun jika Musa dan Bakri dikatakan terlibat dalam menangkap pemohon-pemohon itu, tindakan sedemikian tidak boleh merupakan seperti menghina mahkamah. "Mahkamah tidak boleh menghalang polis menjalankan tugas mereka. Ketua Polis Negara tidak boleh dipertanggungjawabkan menghina mahkamah mengikut doktrin kewajipan wakil," katanya. Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa tiada perintah daripada mahkamah untuk menghalang tangkapan berikutnya dan berharap agar mahkamah menolak permohonan itu. - BERNAMA
Kata Peguam " Tiada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang, tiada siapa pun diberi pengecualian"
Kata Hakim " Integriti mahkamah perlu dipelihara"
Kata penjenayah " Aku peduli apa kanun ke akta ke . kalau ikut undang-undang macam mana aku nak merompak, menyamun dan membunuh".
Kata Penguatkuasa " Kalau aku tangkap penjenayah ni , kalau dia ambil peguam handal putar belit , silap-silap aku kedalam penjenayah tu pula yang bebas bermahajarela".
Saya hanya nak kata " Penjenayah buat apa saja yang dia suka, peguam bersedia untuk membela tak kira apa cara".

Saturday, October 2, 2010

Y 58 ?

2 Okt 2010 Rasanya macam baru sangat kita menyambut tahun baru 2010 tetapi realitinya kita dah berada di suku terakhir tahun 2010. Kata Kak Ros " Cepat nya ya tuan , sekarang ni dah bulan sepuloh". Saya hanya menyambung " Ye la lepas ni bertambah la lagi setahun umor kita".

Bagi Pegawai kerajaan yang perkhidmatannya sudah tidak diperlukan lagi ,apabila umor dah menjangkau 58 tahun , sama ada suka atau tidak terpaksa lah mengundurkan diri dari jawatan yang disandang.


Semalam 1 Okt 2010 di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan PDRM serta Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. Kedua-dua Pengarah yang menyandang jawatan tersebut telah mencapai umor persaraan 58 tahun.

YDH Dato' Hj. Abdul Razak bin Hj. Bokhari Pengarah Pengurusan menyerahkan tugasnya kepada YDH Dato' Mortadza bin Nazarene, Timb. Pengarah Pengurusan (Latihan).

Manakala bagi Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pula YDH Dato' Koh Hong Sun , menyerahkan tugasnya kepada YDH Dato' Nooryah binti Anvar, Timb. Pengarah I, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Kedua-dua acara ini disaksikan oleh YDH Datuk Hussin bin Haji Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara.

Kepada yang bersara diucapkan selamat bersara dan beristirehat . Tinggalkan kenangan pahit dan menyedihkan untuk dijadikan teladan oleh warga yang masih berkhidmat . Pergilah beristirehat dengan membawa hanya kenangan manis sepanjang tempoh berkhidmat dalam PDRM untuk menjadi modal cerita dan gurau senda dengan cucu dan cicit.

Kepada Warga PDRM yang masih diperlukan untuk meneruskan kesinambungan dalam perkhidmatan , PDRM perlu diperkasakan. YDH Ketua Polis Negara Tan Sri Hj Ismail bin Hj Omar telah menggariskan hala tuju PDRM melalui pendekatan 4 P bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

Secara terperinci konsep tersebut telah dijelaskan oleh YDH Tan Sri Ketua Polis Negara semasa majlis pelancarannya pada 30 Sept 2010 .

Protective
Pihak polis akan menjana kepakaran dan kemahiran sebagai pelindung kepada masyarakat dalam memelihara undang-undang. Elemen pelindung ini tersirat di dalam Akta Polis yang merangkumi dari sudut penguatkuasaan dan pemeliharaan undang-undang, memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan penjenayah, menangkap dan mendakwa pesalah serta mengumpul risikan keselamatan. Pihak polis merupakan pelindung masyarakat dan ianya perlu disemai bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM.

Performance & Outcome Oriented
Pencapaian yang diperoleh menjana prestasi tinggi dan menentukan PDRM melepasi tahap atau sasaran yang diperlukan. Pencapaian dapat diukur melalui Key Performance Index (KPI) dan kualiti yang diterjemahkan oleh PDRM melalui penurunan kadar jenayah dan kes-kes yang dapat diselesaikan oleh PDRM.

Proactive
PDRM perlu selangkah ke hadapan di dalam berbagai aspek supaya perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat adalah terbaik dan melebihi ekspektasi. Ianya dapat dilaksanakan dengan menjana pemikiran yang kreatif, kritis dan inovatif di kalangan warga PDRM. Semua peringkat PDRM perlu memainkan peranan dalam menyumbangkan idea dan cadangan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan PDRM.

People's Oriented
Segala perkhidmatan PDRM adalah untuk rakyat. PDRM mengutamakan rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira pangkat, darjat, bangsa dan agama. Setiap pegawai dan anggota PDRM juga akan berubah dari aspek fizikal dan mental agar dapat menghadapi cabaran dan transformasi.