Sunday, July 31, 2011

Warriors Day


31 Julai 2011  Alhamdulillah, dengan izin Allah swt Istiadat Sambutan Hari Pahlawan bagi tahun 2011 telah berlangsung dengan sempurnanya . Kali kedua sambutan diadakan di Dataran Merdeka dengan keberangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.  

Kalau tahun 2010 majlis sambutan di hos kan oleh ATM , maka tahun ini 2011 giliran PDRM pula menjadi tuan rumah kepada sambutan penuh istiadat ini. Kerjasama erat yang sudah lama terjalin antara ATM dan PDRM dalam menyempurnakan istiadat memperingati  jasa pahlawan-pahlawan yang gugur demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.

Sungguh terharu apabila berpeluang berada di medan Dataran Merdeka untuk menyaksikan istiadat ini. Ketika sajak " Pahlawan" ciptaan Mejar (B) Mohammed bin Awang dideklamasikan oleh DSP Rosbaini Kassim dan ASP Mohamed bin Mahat  ramai yang tidak dapat menahan sebak....termasuk saya la.

Pentomen dalam empat segmen yang dipersembahkan oleh anggota-anggota PDRM juga tidak kurang hebatnya. Pengkisahan sejarah Bukit Kepong yang mempamirkan pengorbanan anggota-anggota polis membakar kembali semangat kepahlawanan. Tanpa pengorbanan mereka dapatkah kita mengecapi kedaulatan dan keamanan negara  yang kita nikmati sekarang?  

Amat tepat sekali apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertitah ,

"Sesungguhnya, negara dan rakyat amat terhutang budi kepada mereka sekalian (pahlawan negara). Hakikatnya, keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang negara nikmati pada hari ini tidak akan dapat kita capai tanpa pengorbanan yang dilakukan mereka," 

Saya hanya mampu melakarkan pertanyaan,

" Mereka telah mengadaikan nyawa demi kedaulatan negara dan kesejahteraan kita,  patutkah kita menghancurkan keamanan yang terbina ini tanpa memikirkan nasib anak dan cucu kita?"

Nak publish sajak "Pahlawan" untuk sama-sama kita hayati.....


SAJAK PAHLAWAN
Ciptaan: Mejar (B) Mohamed B. Awang


Merengkok nadi dan sendulah hati
kerana semalam kesah sayu memamah diri
dalam kehitaman sejarah bumi ini
matinya pahlawan kerana bertahan di dada pertiwi
dengan peluru dan darah
dengan keringat yang tumpah

Pahlawan
matimu mati melingkar sejarah
matimu hanya mati pada jasad
dan matimu hanya mati dari jagat

Pahlawan
ketahuilah kamu bahawa kematianmu
cuma dikenang dalam doa dan restu
cuma diukir nama pada sebuah tugu
dan cuma semusim sekali dibawa berlagu
padalah
biarkanlah tugu menjadi keramat dan jihad
dan biarkan lah ia dikenang dengan tekad
bahawa kami penyambung wasiat
bisa ada warisan
dalam darah
dalam sejarah

Pahlawan
kami anak-anak mengugat zaman
bukan hanya lumrah dengan tekad dan sumpah
tapi
sakan mengukit sejarah sepertimu  jua
demi ibu
tanah bertuah ku rela rebah
demi ibu
tanah bertuah ku rela menitis darah

Pahlawan
hari ini harimu dalam kenangan
kerana jasa dan bakti yang terbilang
kami kenangi dalam sedu dan sumpah hulubalang

Pahlawan
semadilah dikau
dengan bunga-bunga di kalungan
lambang kenangan
dan itulah kurnia yang maha agung kami sembahkan
kerana, bintang-bintang kebesaran
sudah tak bererti padamu

Pahlawan
semadi
dan semadilah
hingga harimu ke mari lagi




1 comment: