Thursday, September 30, 2010

Meniti Ke Puncak Menara Gading

30 Sept 2010 Dalam usia yang telah melangkaui setengah abad ini masih mengingati kata-kata yang terbit dari mulut bapa saya " Pak dan mak hampa ni tak berpelajaran, kena banting tulang empat kerat ni untuk mencari sesuap nasi nak hidup dan membesarkan hampa semua". Lepas tu bapa saya ada sambung lagi dengan katanya " Kerana Pak hampa ni tak tau membaca dan menulis , Pak nak hampa semua jadi orang yang boleh membaca dan menulis supaya hampa jadi orang berilmu dan hidup senang" .

Saya juga masih ingat kata-kata arwah nenek " Pak dan mak hang tu rela ikat perut dan hidup susah asalkan anak-anak dia dapat pi sekolah , hang kena la belajaq rajin-rajin jangan duk sia-sia pengorbanan depa tu". Lepas tu arwah nenek kata lagi " Bila dah belajaq tinggi-tinggi, dah pandai dan tau yang mana baik dan yang mana buruk terpulang la kat hang nak mencorak hidup masa depan hang" .

Tapi kata-kata arwah nenek yang ini sentiasa mengingatkan saya kepada asal usul saya " Dah hidup senang jangan sekali-kali hang jadi si Tanggang yang akhirnya di makan sumpah ibu sendiri"


Hari ini saya begitu terharu dengan kejayaan saudara Alwi Mustafa yang telah berjaya menggenggam segulung Ijazah berkat kesabaran , kegigihan dan disiplin diri. Ketekunannya telah membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Malaysia hari isnin lepas.


Saya kagum kerana saudara Alwi telah berjaya mengikut jejak Tuan Ali mengarap ilmu di Puncak Menara Gading selepas menyertai Pasukan Polis sebagai Konstabal. Lebih kagum lagi bila melihat Alwi berdiri disebelah isterinya Cik gu Suzy yang mendukung anak sulung ketika menerima ijazah.

Tahniah Alwi ! Saya doakan anda berjaya mencapai kegemilangan didalam Pasukan PDRM macam mana telah dicipta oleh Bos kita Tuan Ali.


Saya pernah menulis tentang Ilmu untuk anak saya satu ketika dulu ....

ILMU

Ilmu ! Ilmu!
kata ayah ku
nak lihat dunia
kau perlu tahu
nak tahu
kau perlu ilmu

Ilmu! Ilmu!
katanya lagi
ramainya guru
ilmu tak datang pada mu
nak tahu
kau perlu berguru

Ilmu! Ilmu!
serunya lagi
macam-macam ilmu
kau akan keliru
nak tahu
kau perlu istiqomah selalu

Ilmu! Ilmu!
suaranya padu
luasnya dunia ilmu
kau akan beristifar
nak tahu
kau dah dipimpin ilmu

cheazmibidin28/1/09 @0210 hrs

Tuesday, September 28, 2010

PRO....LICIK

28 Sept. 2010 Saya memang loya dan nak muntah bila berhadapan dengan peguam, agaknya luka hati kerana perbuatan peguam terhadap saya masih belum sembuh . Jantung dan hati saya selalu rasa nak terbakar bila tengok gelagat peguam-peguam yang mendabik dada seolah-oleh hanya mereka yang layak bercakap mengenai peraturan dan undang-undang. Orang lain cakap semua tak betul dengan alasan tak faham undang-undang. Poooraaah!!!

Semalam bila saya menonton TV dan melihat pendedahan oleh Timbalan Pengarah JSJK saya langsung tak terkejut dan saya tahu berjuta-juta manusia lain pun tak terkejut. Agaknya Golongan profesional ni yang terkejut kerana pekung mereka dah terdedah . Adus! ramainya golongan ni yang terlibat dalam pecah amanah dan penipuan.

Angka yang diberi adalah angka yang disiasat tapi yang tak dilapur dan tak disiasat mungkin lebih kut? Kalau kes macam ni yang didedahkan melibatkan PDRM sah kumpulan ni akan anjur demontrasi besar-besaran minta ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat.

Supaya rasa hati saya tidak dianggap sebagai melepas dendam , sama-sama lah kita membaca dan membuat tafsiran sendiri . Rasa-rasanya tak perlu lah kita minta pandangan dan tafsiran peguam kut untuk menilai pendedahan ini....

Kes Tanah Sosilawati Antara 290 Kes Penipuan Disiasat JSJK Bukit Aman


KUALA LUMPUR: Kes penjualan dan pembelian tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang dikendalikan peguam yang disyaki suspek utama pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain ialah antara 290 kes membabitkan peguam yang dalam siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Timbalan Pengarah JSJK Datuk Noryah Md Anvar berkata, polis sedang menyiasat kes-kes jenayah komesil itu yang membabitkan peguam di seluruh negara termasuk membabitkan kes penipuan penjualan tanah dan rumah.

"Kesalahan lain ialah menipu, pemalsuan dokumen, geran tanah dan afidavit serta pecah amanah," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini, Isnin.

Difahamkan pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain berkait rapat dengan wang hasil jualan sebidang tanah bernilai RM29 juta di Pulau Pinang milik Sosilawati bersama dua lagi rakan kongsi.

Pembelian dan penjualan tanah itu difahamkan dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama, selaku peguam dan bertindak sebagai broker, berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.

Sosilawati, pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dan pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin, 44, perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 12 September lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.

Ketika ditanya siasatan kes tanah itu, Noryah enggan mengulas lanjut dan berkata akan memaklumkannya kepada media jika terdapat perkembangan terkini.

Beliau berkata sehingga kini, 35 peguam telah ditahan di seluruh negara membabitkan penipuan penjualan tanah termasuk seorang peguam berusia 50 tahun yang ditahan pagi ini kerana terbabit dalam kes penipuan tanah bernilai RM15 juta.

"Peguam itu ditahan di rumahnya di Sunway pada pukul 8 pagi ini kerana dipercayai terlibat dalam penipuan penjualan tanah di Kuala Lumpur.

"Dia akan dituduh di mahkamah hari ini," katanya.

Noryah berkata, daripada 35 peguam yang ditahan itu, 10 orang adalah di Selangor, lapan di Johor, empat orang masing-masing di Kedah dan Kuala Lumpur, tiga orang masing-masing di Perak dan Negeri Sembilan, dua di Melaka dan seorang di Pulau Pinang.

"Mereka berjawatan profesional, sangat licik dan menggunakan kepercayaan serta harapan yang diberikan oleh pelanggan-pelanggan mereka dengan menipu.

"Kebanyakan kesalahan ialah memalsukan dokumen termasuk geran tanah sehingga pejabat tanah mempercayai tindakan mereka itu," katanya. - BERNAMA

Saya hanya nak kata " Mereka profesional, mereka licik dan kuat mengherdik. Sayangnya mereka macam ayam jantan , kokok berderai-derai tapi ekor bergelumang taik. Memalukan!"

Saturday, September 25, 2010

Di Sebalik Pujian

25 Sept 2010 Saya sedih dan geram bila terbaca berita ini yang disiar oleh akhbar-akhbar ....

KUALA LUMPUR 23 SEPT: Suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, mendakwa polis menumbuk, menendang dan memaksa menandatangani dokumen tanpa kerelaan.

Tiga peguam yang mewakili suspek dan adiknya, kedua-duanya juga peguam berjaya menemui klien mereka untuk pertama kali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Khamis lalu.

Mereka sampai pada jam 3 petang ditemani isteri suspek yang mendapat kebenaran bertemu suami mereka.

Peguam DP Vijandran dan Ravi Nekoo memberitahu media, suspek berusia 41 tahun itu mendakwa dikasari polis selepas mereka bertemu selama 30 minit.

"Suspek mendakwa dipukul dengan getah paip, ditumbuk di muka dan ditendang sehingga memudaratkan tulang belakang," kata Vijandran, menambah suspek belum menerima bantuan perubatan berikutan kecederaannya.

Suspek utama itu juga mendakwa dipaksa menandatangani dokumen tanpa kerelaannya.

Vijandran berkata, mereka akan membuat laporan polis mengenai hal itu esok.

"Klien saya mendakwa mereka tidak terlibat langsung (dengan pembunuhan itu) mereka disiasat dan tidak bersalah.

"Bagaimanapun, mereka bersedia memberi sepenuh kerjasama kepada polis tetapi berharap dilayan dengan lebih adil pada masa yang sama," kata Vijandran.

Cerita saya "Pada tahun 1993 saya terlibat dalam membantu siasatan kes pembunuhan seorang perempuan melayu . Mayat perempuan Melayu yang dibunuh kejam itu ditinggalkan kawasan hentian sebelah lebuhraya Seremban-Air Keruh. Team serbuan yang diketuai oleh saya berjaya menangkap 3 Orang Saspek di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur. Ketiga-tiga saspek akhirnya mengaku terlibat dalam pembunuhan wanita tersebut. Apabila dituduh di Mahkamah dibawah Sek 302 KK dengan bantuan peguam saspek membuat lapuran Polis mengatakan mereka dipukul semasa ditangkap menyebabkan saya dan anggota pasukan saya disiasat dibawah Sek 323 KK . Siasatan terhadap saya mengambil masa selama dua setengah tahun sebelum kes di selesaikan dan di NFA oleh Timbalan Pendakwaraya pada 13 Sept . 1995. Kerana siasatan tersebut kemajuan pangkat saya ke Cif Inspektor yang sepatutnya berkuat kuasa pada 16 Nov 1993 hanya diluluskan selepas selesai siasatan . Saya hilang hak dan kekanan selama 2 1/2 tahun. Sedih kan, disebabkan tomahan yang dicadangkan oleh peguam untuk menyelamatkan anak guamnya telah menganiaya saya yang hanya melaksanakan tanggung jawab untuk menangkap penjenayah. Ketiga-tiga penjenayah dihukum , perancangnya dipenjara 10 tahun , yang dua lagi dipenjara 5 tahun setiap seorang selepas pendakwaraya bersetuju meminda tuduhan kepada Sek 304 KK".

Saya hanya nak kata " Saya jadikan iktibar ini untuk mempastikan bahawa saya tidak sekali ingin melihat anggota-anggota saya teraniaya sepertimana saya dianiaya. Kerana saya percaya dan yakin Allah mendengar dan melihat apa yang kita buat".

Tuesday, September 21, 2010

To my media friends, lets work together

21 Sept 2010 "To my media friends, lets work together", itulah ungkapan YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar Ketua Polis Negara semasa mengakhiri ucapannya di Majlis Perasmian Pusat Media dan Pelancaran Facebook Polis Diraja Malaysia yang telah diadakan di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman pada jam 3.00 petang hari ini.

Majlis Pelancaran disempunakan oleh Menteri Dalan Negeri yang juga turut dihadiri YB Dato' Wira Abu Seman bin Yusof dan YB Dato' Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta wakil-wakil media.

Adalah diharapkan dengan langkah PDRM menubuhkan Pusat Media dan mengujudkan Laman Facebook Polis Di Raja Malaysia akan memberi impak yang berkesan kepada hubungan antara PDRM dengan pihak media dan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Maklumat yang cepat, tepat dan terkini yang disalurkan melalui Pusat Media dan hubungan dua hala melalui laman Facebook ini akan mengeratkan hubungan dan keyakinan masyarakat kepada perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia. Masyarakat akan mendapat maklumat yang ternyata sahih dan tepat daripada PDRM yang disalurkan melalui Pusat Media dan Facebook rasmi PDRM. Sekali gus melalui penyiaran maklumat yang tepat dan seimbang ini akan menangkis spekulasi masyarakat terhadap kes-kes yang menarik perhatian umum.

Luahan suara hati Tan Sri IGP "Semoga dengan adanya Pusat Media dan Facebook PDRM ini, kerjasama erat di antara media, masyarakat dan polis akan membentuk satu sinergi, satu kekuatan untuk membentuk satu semangat untuk menggerunkan penjenayah di negara ini."

Bapa saya selalu mengingatkan saya peribahasa ini " Bersatu kita teguh , bercerai kita roboh"

Saya hanya nak kata " Bukan pujian dan sanjungan yang kami harapkan , cukup sekadar kami tidak di caci dan dihina ".

Saturday, September 18, 2010

Promise

17 Sept 2010 Nak kata puas hati memang la tak puas , tetapi selepas lapan hari beraya kat kampong terasa lega la jugak kepala saya. Kesian juga saya kat Tuan Ali walau pun cutinya sepatut berakhir 19 Sept 2010 tapi khabarnya hari raya ketiga dia dah kembali kepejabat.

Bila dipanggil oleh Dato Z petang semalam saya tak terperanjat kenapa Tuan Ali terpaksa balik bekerja walau pun masih cuti. Kata-kata Dato Z masih terngiang ditelinga saya " Tak usah la duk kira nak cuti sangat sekarang ni, kerja banyak macam-macam nak kena buat. Dah siap ka arahan pentadbiran berkenaan Pusat Media tu?. Tanya Tuan Ali saya dah suruh dia siapkan ".

Dalam hati saya berkata " kalau dah suruh, tentu Tuan Ali dah buat". Nampaknya dalam bulan ni saja tiga arahan pentadbiran yang terpaksa kami sediakan.

Masa melangkah masuk bilik mesyuarat , saya tergaman kerana Tuan Ali yang bercuti pun ada disana. Lepas mesyuarat bila saya beritahu pesanan Dato Z , Tuan Ali terus kata kat saya " Dah siap dah, jom kita jumpa Dato".

Saya gembira untuk publish kan janji YDH Tan Sri Ismail Omar Ketua Polis Negara.



Thursday, September 16, 2010

Open Letter

16 Sept 2010 Tahniah diatas kejayaan rakan-rakan PDRM yang bertungkus lumus untuk menyelesaikan kes pembunuhan yang sungguh tragis menjelang aidilfitri 1431H. Sukar untuk dipercayai tetapi itulah kenyataannya. Manusia sanggup melakukan apa saja kekejaman kerana wang dan harta.

Untuk muhasabah diri saya begitu tertarik dengan surat terbuka bekas mufti Perlis kepada YDH Tan Sri Ismail Omar yang baru dilantik menjawat jawatan Ketua Polis Negara......


Assalamualaikum,
Tahniah saya buat Tan Sri Ismail Omar.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar atas perlantikan beliau selaku Ketua Polis Negara (KPN) yang baru. Saya sebagai rakyat bawahan yang lemah meletakkan harapan yang tinggi terhadap kewibawaan Tan Sri.

Pemilihan Tan Sri sebagai satu kejayaan dalam kerjaya Tan Sri, di samping satu ujian besar daripada Allah yang akan menghitungkannya pada hari kiamat kelak.


Ya! Harapan rakyat amat besar terhadap Tan Sri KPN. Pada hari ini, lebaran Tan Sri selaku KPN masih lagi putih. Tindakan dan keputusan yang bakal diambil Tan Sri KPN selepas inilah yang akan mencorakkan warna kain tersebut. Rakyat akan berbicara mengenai baik atau buruk pada penilaian mereka.

Namun apa yang lebih penting segalanya akan tercatat di sisi Allah; adil atau zalim, amanah atau khianat, berjasa atau menganiaya.
Tan Sri, keadilan itu tetap tercatat dengan mulia di sisi Allah, walaupun ada yang menentangnya. Saya percaya Tan Sri akan berusaha sedayanya melaksanakan prinsip-prinsip keadilan itu. Rakyat marhaen seperti saya tentu sahaja akan selalu berdoa agar Tan Sri adil dan berjaya melaksanakan keadilan.

Adil dan amanah itu perintah Allah dan RasulNya. Insan yang betul fitrahnya sayangkan keadilan dan amanah, cintakan pula kepada pengamal dan pejuangnya.

Rakyat akan mencintai Tan Sri, insyaAllah. Adapun kezaliman dan khianat, ianya dikutuk di langit dan bumi. Allah dan Rasul memurkainya. Insan yang mukmin dan waras melaknatnya.

Adil itu merentasi perasaan dan kepentingan

Walaupun ianya dilupai di dunia atas kelicikan manusia, namun Allah menyebut:

(maksudnya) Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; Sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan Yang berlaku). (dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas) (Surah Ibrahim 42-43).


Kami berharap Tan Sri berusaha menghindari noda-noda kezaliman.

Saya percaya Tan Sri seorang yang berwibawa dan profesional, apatah lagi Tan Sri seorang muslim yang beriman tentang hari akhirat. Tan Sri, dosa manusia ada yang bersifat peribadi antara dia dengan Allah, dan ada pula yang membabitkan hak-hak makhluk Allah yang lain.

Dosa peribadi mudah untuk dilangsaikan; taubat dan istighfar antara dia dengan Allah sahaja. Adapun kezaliman terhadap orang lain; ia membabitkan hak hamba-hamba Allah yang tidak mudah untuk diselesaikan. Ada tuntutan yang lain yang mesti bayar, dan Allah juga ada hukuman-Nya yang setimpal.


Tan Sri, hak dan keadilan itu buta warna perbezaan. Adil itu prinsip yang merentasi batasan perasaan dan kepentingan. Merentasi batasan bangsa dan agama sekalipun.

Firman Allah: (maksudnya) "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
(Surah al-Maidah, ayat 8).

Saya pasti Tan Sri lebih faham dan lebih berkesedaran dalam hal ini.

Jihad kembalikan keharmonian

Tan Sri, seperti yang kita bersama tahu bahawa asas sosial (basic social values) yang rakyat perlukan adalah security (keselamatan), freedom (kebebasan), order (peraturan), justice (keadilan) dan welfare (kebajikan). Polis berperanan besar dalam hal ini. Tan Sri adalah insan harapan!

Tan Sri, seperti yang Tan Sri maklum kadar dan jenis jenayah dalam negara kita hari ini amat membimbangkan. Perasaan aman yang merupakan asas kehidupan kemanusiaan mula terhakis hari demi hari. Tugas Tan Sri tentulah besar.


Ia adalah jihad yang agung pahalanya jika Tan Sri dapat mengembalikan keamanan dan memberikan keharmonian kepada rakyat. Salah satu sebab negara tidak aman, hilangnya keberkatan pemerintahan dan rakyat. Adil membuahkan rahmat Allah sekalipun jika pemerintah itu bukan muslim.

Zalim melahirkan kemurkaan Allah, sekalipun pemerintah itu muslim. Inilah yang sedang kita lihat dalam dunia hari ini. Kami mendoakan agar Tan Sri berjaya meneruskan jihad menegakkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat.

Harapan kami agar Tan Sri dapat melaksanakan prinsip-prinsip yang dititahkan Allah dan RasulNya. Semoga Allah memberkati negara ini kerana keadilan insan-insan yang diberikan amanah.

Rakyat mengadu kepada penguasa tentang kezaliman orang lain terhadap mereka. Namun, jika penguasa itu yang zalim, rakyat mengadu kepada Allah tentang kezaliman penguasa mereka.

Nabi bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi kerana ianya dibawa atas lindungan awan dan Allah Yang Maha Tinggi berfirman: "Demi kemuliaan dan keagunganKu, akan Aku menangkan engkau sekalipun selepas beberapa lama" (Riwayat al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, dinilai hasan/ al-Sahihah:870).

Tan Sri, selamat bertugas sebagai KPN yang baru. Bersama Tan Sri jutaan harapan rakyat. Jika saya boleh meminjam wasiat bertulis Abu Bakr al-Siddiq ketika amat uzur dan mencadangkan Umar al-Khattab sebagai penggantinya, antaranya beliau menyebut:

"Sekiranya 'Umar berlaku 'adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. "Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka" Wa al-Salam 'alaikum wa rahmatulLah". (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr).

Semoga Allah merahmati tugasan Tan Sri, amin.

Rakyat bawahan yang dhaif,
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Thursday, September 9, 2010

10 Jari Ku Susun


9 Sept 2010 Sebenarnya saya merancang untuk memulakan perjalanan balik kampong selepas menunaikan solat tarawikh terakhir malam tadi. Selepas ditangguhkan kerana isteri dan anak-anak masih sibuk berkemas dan akhirnya terpaksa tangguh lagi kerana anak saya Syafuan yang baru balik dari Damansara bagitau keadaan jalan menuju ke Sg Buluh sesak sampai ke Batu Caves. Akhirnya saya ambil keputusan nak bertolak selepas sahur nanti jika diizin Allah swt.

Kerana dah puas tidur siang tadi , agak sukar untuk saya melelapkan mata sementara menanti waktu bersahur. Seketika saya melayari internet untuk mengikuti perkembangan dunia siber .

Kepada Bos saya Tuan Ali saya mohon maaf kerana tak sempat nak ke pejabat semalam seperti yang dijanji. Rupanya bila kita dah cuti sibuknya lebih daripada hari kita bekerja sampaikan janji tinggal janji.

Sempena sambutan Aidil fitri jumaat ni saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada Tuan Ali dan semua staf Kem Komandan khasnya Sm Mail yang hari-hari menjadi bahan gurauan saya.

Kepada semua saya katakan " Saya hanya manusia biasa yang tak bisa terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Kadang-kadang saya tahu tutur kata dan gurauan saya terlebih had dan menyakitkan hati . Maafkanlah saya . Semuga Allah sentiasa memberkati dan melindungi kita dari segala bala dan bencana. Selamat hariraya Aidilfitri maaf zahir dan batin".

Wednesday, September 8, 2010

Handing N Taking Over

8 Sept 2010 Saya dah mula cuti hari ni tak sempat nak mengikuti perkembangan majlis serah tugas IGP yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman. Semalam saya nampak bos saya Tuan Ali dengan Sm Mail bukan main sebuk semasa raptai persiapan majlis.

Saya mencari berita majlis yang berlangsung , sebuah berita dari potal berita Malaysiakini yang terselit sekeping gambar kelibat Sm Mail dibelakang Tan Sri Ismail Omar menarik minat untuk ditampal diblog saya.......

IGP ingatkan polis jangan jadi 'orang suruhan'

Ucapan perpisahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini secara tidak langsung terus membidas camputangan Kementerian Dalam Negeri.

Musa yang dilihat tidak mahu berundur sebelum menyatakan apa yang terbuku di hatinya, mengingatkan anggota polis dan pegawainya supaya kekal setia meskipun “menerima tekanan dari pihak atasan dari dalam dan juga luar”.

“Jangan jadi 'yes men'. Jangan jadi orang suruhan. Jika polis terdiri daripada orang suruhan, seluruh pasukan akan busuk dan musnah.

"Jangan tolak ansur dalam soal integriti ini, rosak pasukan nanti," katanya.

Malah, Musa berkata, PDRM bukan peminta sedekah dan bukan "pungut duit orang lain" tetapi kewujudannya adalah untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara.

Pak turut

Beliau juga mengingatkan anggota polis supaya tidak berpuak-puak dan menjadi 'pak turut' bagi mengelak PDRM daripada gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan..

“Zaman saya tidak ada sesiapa pegawai yang tahu siapa yang rapat dengan saya. Saya tidak pernah memanggil mana-mana pegawai ke rumah saya atau keluar untuk makan minum dengan mereka.

"Ini menjadikan kerja lebih mudah, kerana tidak ada pegawai yang mengampu saya,” katanya.

Isnin lalu, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.

"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini.

Sebelum itu, Musa pada ucapannya juga memuji penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang bakal dilantik sebagai ketua polis negara yang baru, Isnin ini.

Bermandi darah

Katanya, beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada timbalannya itu.

Beliau berkata setiap jabatan dalam PDRM perlu memberikan sokongan kepada Ismail bagi memacu PDRM untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat dan negara.

"Ismail akan bekerja dengan baik. Tetapi beliau memerlukan sokongan semua. Saya harap selepas bersara, dia akan memantapkan lagi pasukan polis dan memastikan setiap rancangan dan strategi dilaksanakan,” katanya.

"Saya sendiri banyak menerima aduan berhubung diri saya dan juga pasukan polis kerana kita dilihat tidak memberikan khidmat yang terbaik atau tidak boleh dipercayai ataupun mengamalkan rasuah. Tetapi saya harap, selepas dilantik saya berjaya memperbaiki pasukan polis.

"Dan sekarang, saya pula akan duduk sebagai pemerhati. Saya sering diperhatikan dan sekarang giliran Ismail pula.

"Jangan terbabit dengan salah-guna kuasa dan pastikan anda bermandi darah melindungi negara ini,” katanya.Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini selepas 41 tahun bersama pasukan polis itu.

Tuesday, September 7, 2010

Frust N Hope


Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 12 Sept 2010 meluahkan rasa kecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

Saya ingin berkongsi apa yang dirasai dan apa yang diperkatakan oleh YDH Tan Sri Musa.....

(1) Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.


(2) Tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang.

(3) Jika ada arahan dari pihak yang salah, masalah lapuk (campur tangan) ini akan terus menerus berlaku.

(4) Pihak ketiga itu yang dimaksudkan adalah orang dari kementerian, orang luar, orang yang ada kepentingan dan orang yang suka buat kacau.

(5) Bila saya cuba hendak tingkatkan integrasi, ada sebilangan yang cuba rosakkan seperti terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa serta merosakkan imej PDRM.

(6) Tiada orang bagi tahu saya mengenai perkara itu (kontrak perkhidmatan tidak dilanjutkan). Saya tahu sendiri apabila ia diumumkan.

(7) Masyarakat perlu mempunyai 'first class mentality' dengan tidak bertindak sendiri dalam menyelesaikan sesuatu masalah sehingga melanggar undang-undang.

(8) Masyarakat juga perlu menghormati anggota polis yang bertugas sehingga ada yang mengorbankan nyawa mereka dalam menjaga keselamatan negara.

(9)Bila kes kematian penjenayah akibat tindakan polis, sesetengah masyarakat pandang serong. "
(10) Jangan layan kami seperti penjenayah kerana kami juga sebahagian dari masyarakat dan kami menjaga keselamatan kamu.

(11) Pelan Strategi Lima Tahun PDRM tidak boleh dihentikan kerana ada pelan untuk penstrukturan semula polis untuk fokus pada tugas penting terutamanya membanteras jenayah.

(12) Kita wujudkan jabatan baru seperti 'terrorism and research'. Ini adalah penting supaya kita boleh bertindak dengan cepat dalam sesuatu kes.

(13) Kini adalah masa yang paling sesuai bagi saya untuk berehat panjang memandangkan jarang mengambil cuti selain ingin menjadi rakyat yang baik.

(14) Jika ada kesempatan saya ingin melawat rakan-rakan saya di mana-mana balai atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Thursday, September 2, 2010

41 years@RMP


1 Sept 2010 Sebagai kakitangan kerajaan , hakikat yang perlu kita terima adalah apabila tiba masa yang ditetapkan , maka kita akan mengakhiri perkhidmatan dan meninggalkan apa jua jawatan dan pangkat yang kita sandang.

Macam juga hidup kita didunia ini , sampai masa detik dan ketikanya tiada apa yang dapat menghalang, akhirnya kepada Allah jua akan kembalinya kita. Yang ini tak kira ahli politik ka, kakitangan kerajaan ka , swasta ka atau tak ada kerja ka semuanya akan kembali untuk dihitung amalan selama hidup didunia ini.

Walau pun sedih tetapi saya memahami dan menerima hakikat kata-kata YDH Tan Sri Musa Hassan " Sudah Tiba Masa Saya Berundur ".

PUTRAJAYA: Setelah 41 tahun mencurah bakti dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata sudah tiba masanya beliau bersara daripada perkhidmatan kerana faktor usia.

Seperti pesara yang lain, Musa, 59, yang kontrak perkhidmatannya akan tamat 12 Sept ini, berkata beliau juga ingin berehat selepas ini.

"Saya tidak pernah merasa kecewa bertugas dalam pasukan polis. Saya telah memberi jiwa raga saya sepenuhnya dan sampai masanya saya berundur oleh kerana dah cukup umur," katanya kepada pemberita selepas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara yang baru.

Hishammuddin sebelum itu mengumumkan untuk melantik Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Musa, manakala Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Hussin Ismail pula dicadangkan bagi menggantikan Ismail sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru.

Cadangan itu bagaimanapun tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Musa berkata beliau juga telah melatih Ismail dalam tugas-tugas seharian sebagai Ketua Polis Negara, dan berharap Ismail akan meneruskan kesinambungan kepimpinan pasukan polis bagi menambah baik pasukan itu serta meneruskan perancangan-perancangan penambaikan yang telah dirancang termasuklah penstrukturan semula pasukan itu.

"Saya menasihatkan supaya pasukan polis dijaga dengan betul kerana kita memerlukan pasukan polis untuk menjaga negara jadi pasukan polis itu sendiri kena elok, kena betul, bagi menjalankan tugas dengan baik dan mendapat kepercayaan penuh daripada masyarakat," katanya.

Ditanya mengenai cabaran terbesar dalam menjalankan tugas, beliau berkata memikul amanah sebagai Ketua Polis itu sendiri merupakan cabaran yang besar, namun selagi tugas itu dilakukan dengan ikhlas dan mengikut peraturan undang-undang, beliau tak perlu takut pada sesiapa.

Sementara itu, Ismail berkata beliau bersedia untuk menerima tanggungjawab tersebut dan berterima kasih kepada kerajaan di atas kepercayaan untuk beliau menerajui pasukan itu.

Beliau berkata beliau juga beruntung kerana walaupun hanya menjadi Timbalan Ketua Polis selama tiga tahun, namun beliau telah bekerja dengan Musa sejak 10 tahun lalu di Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Oleh itu, katanya pandangan Musa akan terus diambil perhatian untuk terus membangunkan pasukan polis yang kuat dan menyampaikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

"Jawatan Ketua Polis Negara adalah jawatan, amanah dan tanggungjawab yang cukup berat dan Insya-Allah saya akan laksanakan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan negara terus terjamin dari segi keselamatan dan keamanan," katanya. -BERNAMA

Saya hanya nak kata " Selamat Bersara Tan Sri Musa Hassan , 41 Tahun jasa mu kepada pembangunan PDRM tetap dikenang"