Hari ini saya meluangkan masa membaca posting saudara Mat Saman di dalam blognya Ibnu Saman Aljalawi yang merumuskan ikhtibar daripada pengorbanan pelajar cemerlang Nik Nur Madihah dan keluarganya dari Kelantan.
Yang mencuit perasaan saya ialah mengenai betapa keluarga ini sanggup mengenepikan hak untuk mendapat bantuan semata-mata kerana menganggap insan lain lebih berhak untuk mendapat bantuan tersebut. Keluarga Madihah lebih sanggup melalui keperitan hidup dengan berusaha sendiri daripada menerima bantuan yang difikirkan, ada orang lain lebih berhak menerimanya.
Berkat keyakinan dan keluhuran budi pekerti yang mulia itu keluarga Madihah dapat merasai nikmat dari usaha dan pengorbanan dengan kurniaan Allah diatas kejayaan Nik Nur Madihah mengukir sejarah menjadi pelajar paling cemerlang. Bagi saya keluarga Nik Nur Madihah kini amat berhak menerima apa jua kemudahan dan penghargaan.
Solat Isyak malam ini saya membaca surah As-Sajdah untuk memperingatkan diri saya kepada kebesaran dan kekuasan allah.
Ingin saya tanamkan didalam hati dan jiwa saya ehsan Allah . Menghayati dengan penuh kepercayaan dan keyakinan bahawa “Tiada yang sebenar-benar ujud melainkan ujudnya Allah Ta’ala” .
Keterangan dari surah As- Sajdah yang meruntun jiwa saya agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada . Firman Allah yang bermaksud “Manusia dimulakan kejadiannya daripada tanah dan keturunan manusia dijadikan dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sangat sedikit dipandang orang. Selepas itu Allah meniupkan roh ciptaannya, Dikurniakannya pendengaran, penglihatan dan akal fikiran supaya kamu bersyukur tetapi amat sedikit dikalangan kamu yang bersyukur”.
Kepada saudara Mat Saman , sama-sama lah kita mentafsir ayat 17 surah As-Sajdah yang bermaksud “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan”
Seketika saya menoleh kekiri lalu terpandang wajah saya dicermin dan terus berdoa:
“Ya Allah, Engkau telah memperbaguskan kejadian rupaku, maka baguskanlah pula budi pekertiku”.
The King, his family and U
1 week ago
No comments:
Post a Comment