Sunday, September 27, 2009

Friday, September 25, 2009

Meja Lipat







Tahun 1997 adalah tahun pertama saya bersama keluarga menjadi penghuni Bandaraya Kuala Lumpur. Sukar juga untuk saya dan ahli keluarga menyesuaikan diri dengan gaya hidup di Bandaraya . Masa tu keempat-empat anak saya masih bersekolah, dua orang diperingkat Menengah dan dua orang lagi masih di Sekolah Rendah. Isteri saya pula hanya seorang suri rumah.

Tahun 1999 atas saranan seorang rakan sepejabat Tuan Jo, isteri saya telah memulakan perniagaan dengan membuka gerai makanan ditepi jalan lebih kurang 2 km dari tempat kediaman kami. Meja lipat saja. Alhamdulillah perniagaan tersebut berkekalan hingga hari ini.

Yang bestnya tahun 2000 famili saya dianugerah dengan seorang lagi putri dan pada tahun 2002 dianugerah pula lagi dengan seorang Putra.

Kesimpulannya walaupun saya tak kaya raya , saya bahagia dengan apa yang ada, bersyukur dengan apa yang Allah kurnia .

Sangsaka Biru








Tahun 1976 saya menyertai PDRM sebagai seorang Konstabal. Dinaikkan kepangkat Inspektor pada tahun 1979 . Pada tahun 2002 saya dinaikkan kepangkat Penolong Penguasa Polis.

Tahun 2006 anak saya yang kedua menyertai PDRM sebagai Konstabal Sokongan. Menantu saya pula menyertai PDRM sebagai Konstabal Sokongan pada tahun 2009.

Langkah pertama telah dimula terpulanglah kepada empunya diri untuk mengorak langkah seterusnya. Bapa saya pernah berpesan " Genggam bara api biar sampai jadi arang" . Tapi saya cuma nak ingatkan anak dan menantu saya " Bekerja lah dengan jujur dan ikhlas, hindarkan diri dari perbuatan yang keji, hidup biar berjasa, tak berpangkat tak apa asal jaga maruah dan harga diri, beriman dan bertakwalah kepada Allah , Insyaallah rezki akan sentiasa diberkati".

Lagi satu nak pesan " Kerja Polis ni banyak dugaan dan cabaran. Nak kekal kena kuatkan iman, jangan ikut nafsu syaitan".

Wednesday, September 23, 2009

Syawal 1430



18 Sept 2009 bersamaan 28 Syawal 1430 Hijrah (Jumaat)- Selepas solat jumaat saya bergegas kepejabat untuk bertemu Tuan Ali dan staf pejabat yang tengah bersiap-siap untuk mengosongkan pejabat. Masing-masing dah teruja sangat program setiap kali ketibaan 1 syawal , nak "balik kampung" sambut raya dengan ayah bonda serta sanak saudara . Tak ada yang tak happy, tak puas-puas nak bersalam minta maaf , kalau boleh nak peluk cium sekali....yang ni khas untuk yang muhrim saja la kut nu...

Untungnya saya datang kepejabat , dapat duit raya daripada OCS Tuan Hj Tahir . Tuan Hj Tahir juga bagi duit raya merah-merah kepada semua staf pejabat termasuk bos sekali. Bos dengan Sm Mail pun bagi duit raya kepada staf pejabat tapi saya tak dapat kerana katanya saya tak layak. Kepada Tuan Hj Tahir terima kasih banyak-banyak la , kepada Tuan Ali pun terima kasih jugak kerana sokong untuk saya cuti balik raya , tak ternilai dengan wang ringgit tu..

Selepas pukul 12 tengah malam , saya bersama isteri dan anak-anak serta cucu berlepas dari Kl menuju ke A/Star. Selepas memasuki lebuhraya di tol Sg Buloh perjalanan kami perlahan saja kerana banyak sangat kenderaan yang menghala keutara. Kami hanya singgah di R&R Tapah untuk sahur dan singgah di R&R Sg Perak untuk mengisi minyak dan solat subuh. Akhirnya kami selamat sampai di Kampong Tanah Merah, Jitra pukul 8.30 pagi 19 sept 2009.


Malam raya kat kampung macam raya-raya tahun lalu jugak la , susah nak cerita kerana benda yang seronok sangat kami berpesta tu adalah benda larangan. Saya sendiri tak tau dari mana benda tu datang , cuma saya tau dengar meletup Dum! Dam! dan cahaya warna warni berpercikan saja. Alhamdullillah tak ada perkara yang tak elok berlaku sepanjang pesta raya pertama dan kedua tu berlangsung..

Banyak benda yang berlaku masa sambutan hari raya tapi yang terpahat dalam ingatan saya ialah kunjungan Kak Ros bersama suami kerumah saya . Rupanya Kak Ros datang dua kali kerumah saya , waktu siang sekali nak "buat kejutan" tapi tak bertemu saya. Tanpa putus asa Kak Ros datang lagi malamnya . Terima kasih Kak Ros kerana sudi berkunjung kerumah saya.


Hari raya ketiga sebelum berlepas balik ke Kuala Lumpur saya sempat menunaikan jemputan kenduri doa selamat Abang Syarif Dol dirumah bapanya di Sg Korok, Jitra. Abang Syarif sembelih dua ekor kambing dan 18 ekor itik nila. Saya makan hingga bermandi peluh . Dengar khabar Abang Syarif raya sakan, raya pertama dan kedua dirumah bapa mertua di Pahang , lepas tu balik Kedah buat kenduri pada hari raya ketiga. Mudah2an bertambah-tambah la rezki abang Syarif tu ....

Hari raya keempat saya dah mula bekerja. Kat pejabat cuma ada Sm Mail , Min, Mary, Dewi , Salmee dan Gobi . ASP Saw yang masih sakit kaki dan tangan akibat kemalangan 3 bulan lalu pun dah lapur bekerja hari ni . Selamat kembali bertugas Tuan Saw.

Friday, September 18, 2009

Mood n Mad

17 Sept 2009 Mood untuk sambut aidil fitri dah menelan segala2nya. Tak ada satu pun yang tak seronok, bos yang sibuk tu pun nampaknya ceria dan asyik senyum-senyum melayan anak buah kat Fb. Menyesal saya ambil cuti sebelum raya , patut la Tuan Ali tu suka sangat saya ambil cuti sebelum raya dan dia ambil lepas raya. Silap betul perencanaan yang saya buat ni... kalau panjang umur tahun depan kena jadi iktibar ni..

Masa saya menjenguk-jenguk kat pejabat pagi tadi , yang saya tengok yang tak ceria cuma Kak Ros . Al maklumlah rakan setugasnya Kak Harida cuti panjang 60 hari, saya tengok kat pejabat tu tak ada pun orang bantu Kak Ros yang macam tak boleh nak rehat langsong, asyik buka tutup fail aja. Banyak kerja ya Kak Ros ? Tak apa la Kak Ros esok sehari saja lagi , lepas tu Kak Ros boleh cuti balik Kelantan dan Kedah sambut raya puas-puas. Kalau tak cukup cuti tu lepas raya call saya, boleh sambung cuti lagi.

Cerita yang saya dengar Tuan Ali akan sambut raya secara meriah tahun ni, maklum lah raya kat rumah baru. Saya tak kisah sangat tapi Sm Mail bila dengar cerita Tuan Ali nak raya rumah baru, dia ambil cuti minggu lepas untuk mengecat semula rumahnya supaya nampak lebih baru dari rumah Tuan Ali . Lebih hebat lagi , bukan saja rumah dicat baru bahkan keretanya yang jenama sama dengan Tuan Ali tu pun dicat baru jugak. Maaf ya kerana rahsia ni dah pecah semalam...

Kepada Kakak2 yang berlumba-lumba mengumpul koleksi kueh mueh berpada-pada la sikit jangan sampai jadi pembaziran. Kalau yang anak ramai macam Kak Normah dengan Kak Min tu ok la kerana dengar cerita kueh yang dibeli tu separuh dah habis dimakan anak2...

Akhirnya dalam kita berseronok nak sambut raya jangan sampai Fitrah yang wajib pula kita lupa. Kata Tuan Hj Tahir Fitrah tahun ni hanya Rm 7 satu kepala.

Wednesday, September 16, 2009

Salam Aidil Fitri

16 Sept 2009 Sedar tak sedar ramadan dah hampir kepenghujung. Kalau diizinkan Allah lepas berpuasa lagi empat hari , sambut aidil fitri pula lah kita. Sebenarnya saya dah ambil cuti sejak isnin 14 Sept 09 . Kalau tak ambil cuti tak tau bila pula saya dapat ambil cuti, mana tahan tiap-tiap tahun sebulan cuti luput begitu saja kerana tak sempat nak ambil ... err bukan tak sempat , bos kecik sokong tapi bos besak tak nak luluskan.

Biasa la bos besaq mana nak peduli masaalah orang kecik. Bila minta cuti bagi la apa alasan pun , bos besaq akan kata " cuti bukan hak, belas ehsan saja " . Tapi yang buat terguris hati tu bila dengak cerita bos besaq senang-senang pulak dapat cuti untuk berehat-rehat kat pantai tu atau pi melancung kat dalam dan luar negara. Bos besaq ni tau pulak rasa rugi tak ambil cuti yang diperuntukan setiap tahun tu. Biasa la orang besaq kan, mana ada hati perut selagi dia boleh buli orang kecik ni , dia akan buli habis-habisan.

Kenalah terima realiti sebab kita kerja makan gaji, bos kecik dan bos besaq tu pun makan gaji jugak. Bezanya tanggung jawab bos besaq tu berat, tanggung jawab orang kecik ringan sikit. Agaknya sebab tu la bos besaq tu gaji besar dan segala kemudahan diberi supaya boleh datang kerja awal dan balik lewat. Bos besaq agaknya kena ambil kira juga kut perkara macam ni bila menuturkan perkataan yang menusuk ketulang hitam orang kecik-kecik ni.

Saya ni sebenarnya bukan apa , cuma nak ceritakan perasangka saya terhadap bos kecik dan bos besaq selama ni. Dah hampir sebulan puasa ni bila duk muhasabah diri , saya rasa tak patut berperasangka begitu. Bos kecik dan bos besaq tu pun manusia macam saya jugak tak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Kadang-kadang mungkin tanpa disedari tutur kata kita , orang terguris hati, tapi dia telan saja tak luahkan kat kita. Kadang-kadang kita buat perkara yang kita ingat betul tapi orang dah sakit hati tapi kita tak tau. Macam-macam lah lagi kesilapan dan kesalahan yang kita sebagai manusia biasa tak dapat elak dari melakukannya samada sengaja atau pun tidak sengaja.

Sempena bulan berkat dan hari raya aidil fitri yang akan kita sambut empat hari lagi , saya menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf kepada semua bos kecik , bos besaq , saudara-saudari kat pejabat , sahabat-sahabat handai dan semua yang saya kenal dan yang kenal saya. Ucapan saya " Selamat Hari Raya Aidul Fitri , Maaf Zahir Batin".

Kepada Kak Osma Harun yang hantar kad raya cantik untuk saya , terima kasih tak terhingga. Khas untuk Kak Osma ucapan saya " Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin, Senyum jangan tak senyum".

Saturday, September 12, 2009

Anugerah

12 Sept 2009 Sementara menunggu masuk waktu solat subuh saya menghadap komputer mengintai artikel di Tabib Islam Sites untuk mendapatkan sedikit pandangan dan panduan perubatan islam. Jam 5.45 am saya dapat message dari Harida berbunyi "Salam..saya dah selamat bersalin baby girl pukul 3.20 pagi tadi".

Rasanya baru petang semalam masa berbual-bual bersama saya dan Kak Normah kat pejabat Harida beritahu dia rasa dah nak bersalin tapi kiraan due nya pada 25 Sept 2009. Kak Normah yang dah berpengalaman tu kata " Biasanya mengandung anak pertama ni , lahirnya cepat". Saya pun bagi la sedikit panduan selawat dan doa-doa yang nak dibaca untuk mudah bersalin. Harida yang begitu excited mula la merantau dilaman web cari doa dan selawat panduan saya tu.

Kepada Harida dan Abang Lan saya dan Kak Yatie ucapkan tahniah la, dapat anugerah Allah dibulan berkat ni. Jangan lupa keluarkan Zakat Fitrah untuk baby girl tu .

Saturday, September 5, 2009

Sunat Tarawih

5 Sept 2009 Semalam masa berbual-bual kat pejabat tiba-tiba Kak Ros mengajukan soalan kepada saya " Tuan , kenapa kebanyakan orang yang solat tarawih lapan rakaat tidak tambah dengan solat witir sekali ". Kata saya "Mungkin mereka nak solat witir kat rumah selepas tengah malam nanti , nak solat tahajjud dulu". Mulanya Kak Ros kata jawapan saya tu macam main-main tetapi lepas tu dia kata balik " Ya la , solat witir tu kan solat penutup ".

Kak Normah kata " Dah separuh ramadhan ni tarawih kat surau saya hanya dikerjakan lapan rakaat , mula-mula ramadan hari tu dikerjakan 20 rakaat". Ditanya pasal apa pula begitu , kata Kak Normah " Ya la lepas lapan rakaat semua pakat balik tinggal tok imam dengan bilal saja, sebab tu la agaknya imam ambil keputusan solat lapan rakaat saja".

Fenomena seperti ni sudah biasa la saban tahun disemua surau dan masjid , masa mula sambut ramadan berduyun-duyun ahli kariah memenuhi surau dan masjid sampai melimpah-limpah kat luar. Belum pun sampai separuh ramadan jumlah jemaah semakin berkurangan , yang mana akhirnya hanya tinggal jemaah tetap surau dan masjid saja yang solat tarawih.

Apa nak kata itulah sikap kita yang melakukan sesuatu perkara sekadar hangat-hangat tahi ayam. Orang sibuk nak sambut puasa kita pun sibuk, orang sibuk nak bersunat tarawih kita ikut sibuk kesurau dan masjid. Lepas setengah jalan kita pun kembali seperti biasa, sibuk pasal lain pulak. Maaf cakap , akhirnya tak salah kata setengah orang ibadat kita tu hanya sekadar nak menunjuk-nunjuk saja.

Bagi saya tak kisah la nak sembahyang sunat tarawih kat surau atau kat rumah saja, yang pentingnya solat kita tu didirikan kerana Allah . Lagi satu saya rasa yang pentingnya disamping kita mengerjakan ibadat sunat jangan pula kita abaikan ibadat-ibadat dan solat-solat yang di wajibkan. Sama-sama la kita berdoa memohon petunjuk dan keredaan Allah agar ibadat kita itu diterima olehnya.

Thursday, September 3, 2009

Jujur

3 Sept 2009 Hari ni saya tiba-tiba tidak sihat , seluruh tubuh saya merasa sangat sejuk dan tangan saya menggigil diikuti dengan rasa lemah seluruh anggota. Selepas beritahu Kak Normah saya tutup pintu pejabat nak rehat , bila tiba-tiba Tuan Ali menjenguk dipejabat, saya cepat-cepat beritahu saya rasa sejuk dan tak sihat. Kata Tuan Ali "Kalau sejuk pi jalan-jalan kat luar bagi panas badan". Saya kata " Saya nak rehat dalam pejabat saja la tuan".

Selepas melelapkan mata sekejap menjelang tengahari saya rasa kembali pulih , cuma tekak saya rasa perit dan batuk-batuk. Walau pun pada mulanya saya nak keklinik ambil ubat tetapi kerana keadaan semakin baik saya tak jadi keklinik. Masa berbual-bual dengan Tuan Ali katanya "Saya tadi pun letih juga tapi bila pi jalan-jalan kat luar, rasa segar balik. Agaknya kita ni pasai tak cukup tidur kut" . Secara jujurnya saya pun akui jugalah apa yang Tuan Ali kata tu.

Nasib baik la bulan ramadan ni orang kanan Tuan Ali Sm Mail tu dikurnia Allah kesihatan yang amat baik. Nampaknya dialah yang kehulu kehilir mengibarkan bendera Kem Komandan supaya tak terkulai kat tiang yang dah hampir condong ni. Ada orang lebelkan sebagai pengampu, betul ka ni? Tapi saya rasa tak la kerana kalau Sm Mail tu tak buat macam tu , sapa yang nak buat kerja-kerja yang tempias akhirnya kena kepada Kem Komandan. Fikir-Fikirkan lah...

Hari ni saya rasa lega kerana dengar pengumuman , kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara dilanjutkan setahun lagi sehingga 12 Sept tahun depan. Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam hari ini. Lanjutan kontrak itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri dengan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sebagai seorang Pegawai Polis saya begitu geram dengan cakap-cakap politik yang cuba memburuk-buruk kepimpinan Tan Sri Musa Hj Hassan dengan fitnah dan tuduhan yang sengaja diadakan. Kepada orang-orang yang angkuh mengaku diri mereka Islam sejati , dibulan ramadan yang mulia ni cuba-cuba muhasabah diri , jadilah orang yang jujur dan berkata benar tanpa menggunakan ugama sebagai topeng, disebalik mempromosikan penipuan yang sungguh menjijikan.

Kita manusia ni bukan semua perfact , masing-masing ada kelemahan disebalik kebaikan yang ditonjolkan . Mungkin itulah sebabnya apabila orang-orang ugama ni bercakap akan diakhiri dengan kata-kata " Apa yang baik itu dari Allah, yang buruk itu adalah kelemahan diri saya sendiri". Kalau inilah yang kita pegang , mengapakah kita tidak dapat menerima orang lain sebagaimana kita nak orang lain fahami realiti kita sebagai seorang hamba Allah.

Kesimpulan saya jujurlah kepada diri sendiri, usahlah menghina orang lain kerana gagal melakukan sesuatu , yang mana kita sendiri mungkin tak berkemampuan melakukannya lebih baik dari orang yang kita hina. Janganlah kita terlalu ego dan menganggap diri kita yang paling hebat sehingga kita lupa kehidupan kita didunia ini hanya sementara saja, akhirnya kita akan dipanggil mengadap yang maha kuasa. Allah Hu Akbar! Allah Hu Akbar! Allah Hu Akbar!