Friday, January 14, 2011

Out N In @ Transper

Tertarik dengan berita yang di paparkan di Malaysiakini , saya 'copy and paste' ke blog saya.

Hampir 70 pegawai polis dari bahagian Siasatan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) di seluruh negara dijangka terbabit dalam pertukaran mulai bulan depan.

NONEKetua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (pertama dari kiri) berkata, pertukaran itu adalah sebahagian langkah penstrukturan biasa bagi memantapkan lagi operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ini adalah sebahagian langkah yang saya lakukan sejak saya memegang tampuk tertinggi dalam pasukan. Saya mahukan perubahan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dua buah piano digital dan sebuah televisyen LCD kepada PDRM dari Kedutaan Korea di Malaysia di Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Ditanya jumlah sebenar pegawai D7 yang ditukarkan, Ismail berkata: "Bilangannya tidak penting, perubahan yang penting."

"Pertukaran ini merupakan fenomena biasa dalam PDRM dan bukan hanya pegawai D7 terlibat sebaliknya ia membabitkan semua jabatan dalam PDRM secara berperingkat," katanya ketika ditanya pemberita mengenai pertukaran kebanyakan pegawai D7 termasuk Pegawai Turus Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur DSP Razali Abu Samah.

Beliau berkata, langkah itu tidak ada kaitan dengan masalah disiplin atau salahguna kuasa.

Ismail berkata, pertukaran itu dilakukan supaya setiap anggota terdedah pada semua skop tugas yang pelbagai agar dapat mempertingkatkan kualiti dan mengatasi kelemahan yang ada.
Katanya, bagi memastikan kadar jenayah terus menurun tahun ini, beberapa inisiatif baru akan diperkenalkan bagi menambah baik langkah-langkah yang dilakukan sepanjang tahun lalu.

Selain itu, katanya, beliau juga mahu seluruh pegawai dan anggota dapat memberikan khidmat yang terbaik bagi memastikan sasaran tersebut tercapai.

Dalam pada itu, beliau berkata, di Malaysia terdapat kira-kira 20,000 warga Korea Selatan yang tinggal dan bekerja di sini terutamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Katanya, sumbangan yang diterima dari kedutaan Korea itu adalah penghargaan atas usaha PDRM dalam memastikan keamanan dan keselamatan penduduk di Malaysia termasuk warga Korea Selatan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment